Jenazah Nazirah selamat dikebumi

Berita
Typography

ALOR SETAR: Jenazah bekas wartawan Harakah, Nazirah Nasrun@Siron selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Derga, dekat sini kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham tiba di rumahnya, Lorong Peringgi, Bakar Bata kira-kira jam 8.00 pagi.

Nazirah yang disahkan mempunyai ketumbuhan di rahimnya kira-kira sebulan lalu, sebelum ini dirawat di beberapa pusat rawatan, antaranya PMC Alor Setar, Kedah.

Beliau menghembuskan nafas terakhir sejurus tiga jam selepas menjalani dialisis di Hospital Serdang, Selangor, kira-kira jam 11.45 malam tadi.

Menurut ibunya, Siti Zaleha Abd Aziz, mereka sekeluarga tidak menyangka allahyarham mengalami masalah kesihatan sedemikian kerana beliau sering diserang masalah gastrik.

"Bukan sahaja makcik, Nazirah sendiri pun tidak tahu yang dia mempunyai ketumbuhan di rahimnya.

"Sebelum ini ingat ke yang dia selalu sakit, cuma serangan gastrik biasa," jelasnya ketika ditemui Harakah di kediamannya di Bakar Bata.

Katanya lagi, anak bongsu dari empat orang adik beradik itu tidak menunjukkan reaksi ganjil melainkan periang serta peramah seperti selalunya sehinggalah kali terakhir beliau dimasukkan ke wad Hospital Serdang, pada 22 Julai lalu.

Allahyarham sebelum ini menuntut di Universiti Putra Malaysia, jurusan Pengajian Bahasa, pernah berkhidmat dengan Harakah pada 9 Jun 2014 dan sebelum ini menjadi wartawan sambilan akhbar berkenaan selama setahun di ruangan English Section.

Walau bagaimanapun beliau menamatkan perkhidmatannya pada awal tahun 2018, kerana ingin memberi tumpuan kepada menjaga kesihatan ibunya.

Sementara itu, Skuad Prihatin PAS Pusat, berbesar hati untuk melakukan upah haji untuk allahyarham secara percuma sebagai mengenang jasa beliau. – HARAKAHDAILY 25/7/2018

Damailah Almarhumah Nazirah di sana...