PAS sudah ‘beranak’ lima di T’ganu

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS telah membuktikan kemampuan mentadbir penuh kredibiliti dan akauntabiliti dengan melaksanakan pelbagai agenda untuk rakyat, demikian menurut Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PAS – Pasir Mas).
 
“Di Terengganu, PAS telah melaksanakan lima janji daripada 20 Manifesto PAS. Walaupun ada yang kata mana mungkin kahwin hari ini esok beranak, tetapi di Terengganu, kita telah beranak lima.
 
“Yang pertama mengembalikan tanah yang dirampas selepas pemerintahan PAS tahun 2004, membuka permohonan tanah baru dan terus memberikan geran yang kekal.
 
“Kedua, menyerahkan kembali tanah rumah setiap rakyat Terengganu berumur 21 tahun layak berhak mendapat satu lot tanah rumah kediaman atau satu unit rumah kediaman.
 
“Ketiga, Karnival Kahwin kali pertama percuma setiap Dun telah dilaksanakan baru-baru ini. Keempat memberikan bekalan air percuma 20 meter padu kepada golongan miskin,” kemukanya dalam perbahasan Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.
 
Kelima tambahnya, membuka Pusat Nurseri di setiap Jabatan Kerajaan Negeri sebagaimana dimaklum Dun Terengganu. - HARAKAHDAILY 25/7/2018