Bekas calon PAS nafi sokong calon PH

Berita
Typography
KUALA LUMPUR: Bekas calon PAS PRU14 Dun Sungai Kandis, Ustaz Mohd Yusof Abdullah menafikan bahawa beliau menzahirkan sokongan kepada calon PH PRK N.49 Sungai Kandis, Ustaz Mohd Zawawi Mughni.
 
Menurut berita disiarkan Sinar Harian, Zawawi mendakwa Yusof menyatakan sokongan terbuka kepada PH dan akan mengajak rakan-rakannya mengundi calon itu.
 
"Kenyataan saya telah dimanipulasikan. Maaf, saya perlu membetulkan berita yang telah disiarkan ini. Benar, Ustaz Zawawi Mughni, ada mengunjungi saya di rumah. Berkebetulan saya sedang terlantar sakit sejak sebulan yang lalu.
 
"Saya meraikan kedatangan beliau walaupun dalam suasana kehangatan kempen pilihan raya. Saya tidak pasti sama ada berita yang disiarkan adalah kenyataan dari Ustaz Zawawi sendiri atau tafsiran media.
 
"Apabila calon berkenaan meminta sokongan dan bantuan saya untuk ahli-ahli serta pengundi PAS mengundi beliau, secara tegas saya telah nyatakan bahawa pendirian saya adalah selaras dengan pendirian PAS. Saya tiada kuasa dan hak mengubahnya.
 
"Saya juga menyatakan bahawa soal pilihan dan sokongan adalah hak individu masing-masing. Tiada arahan rasmi untuk mengundi mana-mana calon dalam PRK Sungai Kandis ini," terangnya.
 
Tambahnya lagi, beliau hanya mengingatkan Zawawi jika ditakdirkan menang dalam PRK ini, harus berusaha merealisasikan janji-janji yang dibuat dan memastikan penyelesaian dan pendekatan keagamaan diutamakan.
 
Sehubungan itu tegas Yusof, beliau meminta tiada mana-mana pihak memanipulasikan berita tidak benar ini demi kepentingan sebelah pihak semata- mata. -HARAKAHDAILY 24/7/2018