Terpukul gagal heret PAS ke kancah PRK

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Terdapat pihak di dalam PH yang merasa amat terpukul dengan keputusan PAS tidak bertanding pada PRK N.49 Sungai Kandis kerana merencatkan agenda dirancang mereka.

Ahli Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Kedah, Zulkifli Che Haron berkata, kerana itulah mereka melontarkan tuduhan bahawa PAS membantu BN untuk tetap mengheret PAS dalam PRK tersebut.

Jelas beliau, mereka itu mahu supaya umat Melayu Islam terus berpecah disebabkan ideologi politik dan menjadikan PRK sebagai pentas menyemarakkan sentimen berkaitan.

Menurut beliau, mereka sedar apabila PAS tidak menyertai PRK itu, umat Melayu Islam bukan sahaja mengecilkan pertembungan, malah boleh membina semula penyatuan atas pelbagai gugatan dibuat oleh pihak tersebut.

Tegasnya, PAS tidak ada perkaitan hubungan mahupun terlibat dengan percaturan di Sungai Kandis, sekali gus menyebabkan kalangan mereka itu semakin tidak senang duduk.

"Mereka lebih suka menentang gerakan Islam dan kepentingan Islam. Keutamaan mereka hanya mahu PAS kalah, bukan kemenangan PH atau BN. Kerana PH dan BN hakikatnya dari rumah yang sama.

"Sekular, liberal dan sosialis sebenarnya mereka ini lahir dari perut ibu yang sama, tinggal sebumbung, cuma berlainan bilik. Kerana itulah PH dan BN boleh bersama di Kedah dan Perak.

"Jadi, apabila liberal dan sekular bertembung sesama mereka, sosialis merasa amat tidak senang kerana tiada keuntungan. Maka mereka terus fitnah PAS untuk terjebak ke kancah itu," ujarnya.

-HARAKAHDAILY 24/7/2018