Pendidik seru umat bersolidariti 28 Julai

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) menyeru rakyat Malaysia bersolidariti di Himpunan Kebangkitan Ummah di Kelab Sultan Sulaiman pada 28 Julai depan.

Presiden Pendidik, Normala Sudirman berkata, pihaknya percaya rakyat Malaysia masih punyai sensitiviti terhadap isu agama, bangsa dan kedaulatan yang digugat mutakhir ini.

Menurutnya, kehadiran ke himpunan itu juga bakal menjadi mesej padu serta bukti terhadap usaha mempertahan dan memartabatkan bahasa serta pendidikan yang turut diancam.

Maklum beliau, objektif himpunan antara lain untuk menzahirkan bantahan terhadap cadangan Menteri Pendidikan mahu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Selain itu juga katanya, sebagai sokongan untuk terus memelihara teguh Perlembagaan Malaysia serta menangkis sebarang langkah merendahkan tonggak-tonggak utama negara.

"Himpunan aman ini untuk menyatukan, bukan mencetus huru-hara atau kekecohan. Tapi ia akan menzahirkan keresahan rakyat terhadap perbuatan menggugat dan mengancam kedaulatan agama, bahasa, bangsa dan institusi beraja.

"Kami mendesak pimpinan Kerajaan PH tidak tunduk terhadap pihak-pihak yang mencabar semua ini. Kebimbangan dan keresahan rakyat mesti dihentikan. Kita mahu keharmonian dan ketenteraman Malaysia," ujarnya. -HARAKAHDAILY 24/7/2018