Beri perhatian pembangunan insan

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pembangunan insan hendaklah melalui ilmu dan pendidikan yang memenuhi sifat fitrah naluri atau semulajadi bercirikan jasad, roh, akal, berkonsep kedirian dan bermasyarakat madani, demikian menurut Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS – Marang). 

Katanya, negara mengalami gejala sosial yang menimpa seluruh dunia menandakan kelemahan sistem pendidikan kerana tidak membangun insan mengikut acuan fitrahnya, selain kelemahan undang-undang mencegah kemungkaran.
 
“Allah mencipta manusia dengan fitrah yang berbeza, dengan makhluk yang lain. Dan diletakkan di tempat yang berbeza di kalangan sesama manusia sendiri. Berbagai bangsa, budaya dan hasil bumi, serta kemahiran, kepakaran, dan sumber masing-masing.
 
“Petunjuk Allah melalui al-Quran dan kebijaksanaan Rasulullah Muhammad S.A.W, telah berjaya mendidik manusia awal Islam daripada masyarakat Arab buta huruf dan liar sifat jahiliyahnya.
 
“Bersama Islam, berjaya menegakkan negara masyarakat majmuk, yang besar dan membetulkan tamadun jahiliyah yang tidak bermoral walaupun maju dari segi kebendaannya, dan kerajaan yang bertaraf kuasa besar,” ujarnya membahas Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini sebentar tadi.
 
Jelas beliau, insan yang dibentuk oleh Islam berjaya menurunkan kuasa besar di zamannya dan mencipta semula tamadun Hadharah Islamiyah tanpa meninggalkan manfaat warisan ilmu dunia daripada seluruh pelusuk Timur dan Barat; Parsi, Rom, China, India, Mesir dan lain-lain.
 
Peranan Bahasa Kebangsaan
 
Malah terangnya, Islam telah menterjemahkan ilmu ke dalam Bahasa Arab yang dirasmikan di masa itu tanpa menghapuskan bahasa kaum masing-masing di mana hal itu menjadi tanda kebesaran Allah S.W.T sebagaimana dinyatakan pada ayat 22 surah ar-Rum.
 
Pun begitu katanya, umat Islam yang meneroka kemajuan sains dan teknologi dengan memajukan ilmu hasil daripada berbagai negara dan bangsa, ketinggalan pada akhirnya dengan sebab kelekaan-kelekaan menghayati Islam dan mengembangkan ilmu.
 
“Barat yang mencetuskan Revolusi Industri hasil terjemahan Tamadun Islam ke dalam bahasa Barat, namun mereka meninggalkan aspek rohani, dan moral yang mengawal akal dan jasadnya sehingga tanpa roh. Kini kita sedang menyaksikan kemunduran, merudum Tamadun Barat yang maju itu.
 
“Menjadikan manusia tidak bermoral sehingga mencipta senjata pemusnah, menjadikannya lebih ganas daripada binatang dan hilang moralnya, menghilangkan akal yang mulia dengan gejala arak dahulunya dan kini dadah berbagai jenis.
 
“Kita menyaksikan negara-negara maju seperti Jepun, Jerman, China, dan lain-lain mengilmukan rakyat dengan Bahasa Kebangsaan masing-masing dan pengetahuan bahasa asing sekadar keperluan menterjemahkannya, bukan mengilmukan rakyat seberapa banyak dengan bahasa asing itu.
 
“Maka tanggungjawab kita menjadi Bahasa Kebangsaan kita sendiri adalah cara paling betul dalam memperkasakan ilmu dan pendidikan kita. Cara meninggalkan Bahasa Kebangsaan sendiri dalam pendidikan dan mengurus rakyat telah menemui kegagalan yang berulang,” peringat beliau.
 
Masalah sosial dan rasuah
 
Tanggungjawab seterusnya ujar beliau, adalah menangani gejala sosial yang hampir merebak di setiap lorong dan keluarga dengan pendidikan dan pelajaran, serta media bermoral, selain undang-undang berkesan dan mendidik, bukan sekadar menghukum sahaja.
 
Katanya, media tanpa sempadan menjadi wabak baru yang tidak terkawal lagi menyerang seluruh pelusuk dunia, kini menjadi ancaman terhadap negara dan antarabangsa, sehingga pengetahuan bahasa asing bukan lagi untuk menimba ilmu positif, tetapi membuka ruang lebih besar menjadi aspek negatif.
 
“Maka perlu adanya kawalan terhadap perkara ini demi menyelamatkan negara dan rakyat dengan peraturan kawalan dan undang-undang bertindak yang berkesan. Kita menyaksikan hukuman mati mandatori terhadap pengedar dadah gagal mengatasi gejala pengedarannya. Walaupun hukuman itu lebih keras daripada Hukum Qisas dan Hukum Hudud Islam yang dipertikai dan diragukan oleh banyak pihak.
 
“Dan juga undang-undang mencegah gejala rasuah tidak mampu menghalang siapa sahaja yang berkuasa melakukannya dengan berbagai-bagai helah. Kini sudah tiba masanya diberi ruang untuk memperkenalkan Undang-undang Syariat Islam, dibincangkan secara ilmu, dan diberi kuasa kepada negeri menjadi percubaan menunaikan kewajipan kepada Allah dan rakyat,” seru beliau. - HARAKAHDAILY 23/7/2018