PAS paling merasa konsep federalisme dicabul

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS mengharapkan kerajaan pusat menghormati pilihan kerajaan negeri dengan mengembalikan semula konsep federalisme yang selama ini telah dicabul oleh kerajaan persekutuan.

Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS bersedia berbincang bersama kerana parti itu berpengalaman paling lama dalam pemerintahan kerajaan negeri.

"Kita boleh bincang bersama mereka. Kami PAS yang paling berpengalaman memerintah kerajaan negeri yang paling merasa betapa konsep federalisme ini dicabul dengan begitu.

"Kita mengharapkan supaya kerajaan pusat menghormati pilihan kerajaan negeri," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang semasa menjawab celahan Ahli Parlimen Mersing, Dato' Dr Abd Latiff Ahmad ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Tegas beliau, sekiranya kerajaan mahukan perubahan yang betul-betul positif digesa mengambil kira akan pendirian kerajaan negeri yang mahu konsep federalisme dikembalikan semula.

"Jangan mengulangi amalan-amalan di zaman penjajahan dahulu yang saya sebut negeri Pantai Timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang terpinggir mengikut cara yang diadakan di zaman penjajah dulu dikekalkan, hendaklah diubah," katanya.

Jelasnya, hal ini kerana negeri-negeri tersebut memiliki hasil bumi yang banyak dan dihuni oleh rakyatnya yang terdiri daripada majoriti bumiputera masih terpinggir dengan kekurangan pelbagai kemudahan asas. – HARAKAHDAILY 23/7/2018