Hadis jelaskan bagaimana mengamal Al-Quran

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa hadis adalah mengenai penjelasan bagaimana mengamalkan al-Quran.

Menurutnya, perkara itu sangat penting dan perlu dirujuk kepada mereka yang lebih ahli dalam bidang tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyatakan demikian dalam sesi perbahasan Titah Diraja hari ini menjawab celahan Dato' Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) yang meminta pandangan beliau mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu wawancara baru-baru ini berhubung jaminan kerajaan melaksanakan ajaran Islam di negara ini berpandukan al-Quran.

"Sekejap tadi Yang Berhormat Marang telah mengatakan bahawa kerajaan juga perlu mengambil kira perancangan-perancangan yang nak dibuat ke arah nak memartabatkan agama ataupun Islam itu sendiri.

"Baru-baru ini YAB selaku Perdana Menteri melalui satu temuramah dengan sebuah akhbar mengatakan bahawa untuk memelihara agama Islam ini, kerajaan sekarang ini akan merujuk kepada nas-nas ataupun panduan daripada al-Quran yang benar dan bukan kepada hadis-hadis yang kadang tidak benar. Jadi apa pandangan Marang?" soal Takiyuddin.

"Perlu diketahui bahawa hadis adalah penjelasan bagaimana mengamalkan al-Quran itu. Ini sangat penting dan perlu dirujuk kepada mereka yang ahli dalam bidang ini," jawab Tuan Guru Abdul Hadi. – HARAKAHDAILY 23/7/2018