Pemangku Raja rakam tahniah PAS kekal

Berita
Typography

KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra merakam ucapan tahniah kepada PAS kerana berjaya mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

Sehubungan itu, baginda menyaran kerajaan serta calon yang menang pada PRU 14 lalu memberi sumbangan terbaik kepada rakyat.

Titah baginda, pada masa yang sama bertanggungjawab dan saksama perlu diberikan sebagai membalas kepercayaan rakyat terhadap mereka.

Baginda bertintah demikian ketika merasmikan istiadat pembukaan penggal pertama Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang ke-14 di Kota Darulnaim hari ini.

Pada PRU lalu PAS menang besar di negeri itu dengan memperolehi 37 kerusi Dun manakala - BN 8. Bagaimanapun Pakatan Harapan (PH) gagal memenangi sebarang kerusi.

Baginda turut melahirkan rasa sukacita terhadap perancangan kerajaan negeri untuk menjadikan negeri itu berdaya saing khususnya dalam pertumbuhan ekonomi.

“Di kesempatan ini beta ingin merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Persekutuan terutamanya MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) di atas kerjasama menarik pelabur asing melabur di negeri ini,” titah baginda.

Ujar baginda difahamkan kerajaan negeri dengan kerjasama Mida telah mengenal pasti syarikat dari Dubai dan Jepun yang berminat melabur di negeri itu.

“Beta berharap usaha seperti itu dapat membuahkan hasil yang baik bagi meningkatkan jumlah pelaburan dan pendapatan kerajaan negeri,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 23/7/2018