Belum jelas tambah atau kurang royalti

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri masih belum mendapat gambaran jelas berhubung pembayaran royalti hasil pengeluaran petroleum.

Ujarnya, perkara yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sidang media pada 20 Julai lalu kurang jelas perinciannya.

"Apa yang disebut oleh perdana menteri, 20 peratus daripada keuntungan Petronas di negeri-negeri pengeluar minyak.

"Keuntungan Petronas (gross avenew) sepanjang tahun 2017 misalnya adalah sebanyak 233 bilion. Keuntungan selepas penolakan cukai pula sebanyak (net profit) 45 bilion berbanding tahun 2016 sebanyak 23.5 bilion," katanya kepada media dalam satu majlis di Maahad Darul Quran, Rusila, semalam.

Jelasnya, pihaknya masih belum jelas sama ada pendirian kerajaan pusat itu akan menambah atau mengurangkan hasil pemberian royalti minyak.

"Berdasarkan kepada net profit, maka tentulah nilainya tidak sama macam kita duk baca sekarang ini.

"Yang kita duk baca sekarang ini ialah 5 peratus, daripada jumlah 1.2 bilion pada harga 50 dolar setong. Kalau 70 dolar setong perolehan kerajaan negeri adalah 1.6 bilion.

"Yang dimaksudkan oleh perdana menteri 20 peratus daripada net profit yang diperoleh kerajaan negeri," katanya.

Tambahnya, nilai untung itu mungkin boleh jadi lebih atau kurang daripada 1.2 bilion.

Bagi menyatakan sama ada bersetuju atau tidak bersetuju dengan pendirian kerajaan itu, kerajaan negeri katanya akan meneliti secara terperinci mengenai perkara tersebut terutama akan menyemak semula jumlah pengeluaran minyak dan hasil keuntungan bersih selepas ditolak dari cukai negeri itu.

Jelasnya, di peringkat awal kerajaan negeri komited dengan komitmen kerajaan pusat untuk memberikan royalti terus kepada kerajaan negeri malah kerajaan negeri turut komited akan membelanjakan perolehan royalti itu untuk kepentingan rakyat negeri itu.

"Kerajaan negeri hanya guna untuk kepentingan rakyat bukan untuk kepentingan parti. Kami komited bahawa kita akan guna untuk kepentingan rakyat," tegasnya. – HARAKAHDAILY 22/7/2018