Ramasamy: Pemuda PAS Kelantan lapor polis

Berita
Typography

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Kelantan meminta polis melakukan siasatan menyeluruh terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

Siasatan itu amat perlu kerana Ramasamy didakwa menyokong pemberontak Pembebasan Harimau Tamil Ealam (LTTE) di Sri Lanka.

Serentak itu, Pemuda PAS negeri telah membuat laporan polis supaya siasatan dilakukan terhadap timbalan ketua menteri itu atas pelbagai isu yang membabitkan dirinya sejak akhir-akhir ini.

Laporan berkenaan dibuat timbalan ketuanya, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, di sini, semalam.

Pada masa yang sama, jelas Azariza gambar yang ditularkan di media sosial baru-baru ini menimbulkan banyak persoalan.

“Antaranya gambar pertemuannya dengan Vaiko (Setiausaha Parti MDMK) India yang dimuat naik di facebook beliau pada 14 Julai lalu,” ujarnya.

Menurutnya, ia adalah sebahagian dari perkara yang perlu disiasat oleh pihak berkuasa kerana dibimbangi menjejaskan kestabilan negara. – HARAKAHDAILY 19/7/2018