Berapa kos mulakan caruman KWSP isteri

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Timbul beberapa persoalan berhubung cadangan pelaksanaan Caruman Kumpuan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk isteri kedua dan ketiga yang mungkin tidak memperoleh manfaat dan nilai tambah terhadap pendapatan semasa isi rumah untuk surirumah.

Membangkitkan soalan tambahan dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) menimbulkan persoalan tersebut selepas mendengar penjelasan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang meminta kementerian berkenaan menjelaskan pelaksanaan caruman KWSP untuk isteri dan wanita.

"Ada yang mungkin tercicir diceraikan dan sebagainya. Perkara ini memerlukan perhatian semua pihak. Adakah kerajaan ingin mencadangkan sebagai tambahan daripada peruntukan itu untuk diberikan elaun bersifat semasa kepada isteri-isteri sebagai satu penghormatan terhadap isteri-isteri diberikan elaun bulanan yang nak diberikan bersifat akan datang masa pencen?

"Isu yang kita tekankan sekarang adalah isu sekarang. Adakah kerajaan bersedia memberikan elaun RM50 sebulan untuk isteri-isteri, dan juga saya ingin tahu berapakah kos yang diperlukan jika projek ini dimulakan nanti?" soal beliau semasa sesi soal jawab.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dato' Seri Dr Wan Azizaah Dr Wan Ismail menjawab pertanyaan tersebut dengan mengatakan perihal tersebut adalah tanggungjawab suami.

"Itu adalah tanggungjawab suami, kenapa kerajaan nak bagi nafkah tambahan pula?" katanya.

Dalam soalan asal, Mohd Khairuddin meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan berkenaan pelaksanaan caruman KWSP untuk isteri atau wanita. – HARAKAHDAILY 18/7/2018