Ustaz Husain, Asmak angkat sumpah Senator

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Dato’ Ustaz Husain Awang mewakili Kerajaan Terengganu dan Ustazah Asmak Husin mewakili Kerajaan Kelantan hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara.

asmakUpacara angkat sumpah itu berlangsung sekitar jam 2.30 petang tadi di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A Vigneswaran.

Menurut Ustaz Husain lantikan sebagai Senator itu adalah kali pertama yang mana sebelum ini beliau hanya berpengalaman sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu sejak tahun 1999 sehingga 2004.

"Insha-Allah pengalaman yang saya dapat di Dewan Undangan Negeri itu akan saya manfaatkan di Parlimen sejauh mana yang boleh saya gunakan, insha Allah kita akan gunakanlah," katanya kepada Harakah, sebelum mengangkat sumpah sebagai Senator.

Dipilih sebagai Senator beliau turut mengharapkan supaya sepanjang persidangan Dewan Negara nanti akan berjalan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

"Kita juga mengharapkan perbahasan dan perbincangan yang bakal berlaku di dewan nanti adalah ke arah sesuai dengan perkembangan semasa ini yang memerlukan semua ahli dewan itu mempunyai maklumat yang tepat dan sikap yang positif terhadap untuk membina bangsa.

"Kita dapati perkara yang paling perlu diberi perhatian ialah bagaimana status pembinaan negara bangsa yang telah begitu lama sejak 60 tahun merdeka, tidak jelas dari sudut apa yang diperkatakan sebagai negara bangsa.

"Negara kita negara apa? Malaysia. Bangsa kita bangsa apa? Bangsa Malaysia. Yang mana menjadi nadi dan jiwa kepada bangsa itu ialah bahasa, bahasa itu dicabul dan pemimpin bercakap mengenainya hal pertanian kepada rakyat pun bercakap dalam bahasa Inggeris, ini pencabulan terhadap maruah negara," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu.

Ulasnya, perkara tersebut perlu diberi penekanan oleh pimpinan kerajaan dan juga ahli politik. – HARAKAHDAILY 17/7/2018