Zam dangkal, 'purbakan' Bahasa Arab

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Perlekehan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) bahawa Bahasa Arab bukan bahasa ilmu menggambarkan pola pemikiran liberalnya.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sifat pemikiran sedemikian akan menyamatarafkan nilai semua ilmu.

Lalu mereka itu menurutnya, gagal mengadunkan antara nilai-nilai murni dari tamadun lampau dengan moden, walhal Bahasa Arab merupakan 'punca dan rangsangan' kelahiran Tamadun Barat.

"Mungkin Zam secara dangkal menganggap Bahasa Arab sudah jadi 'purba' dan tidak diperlukan lagi. Otak Zam hanya nampak bahawa ilmu itu adalah sains Barat.

"Dia lupa bahawa manusia dibina dengan ilmu sahsiah insani, bukan dengan robot. Mungkin otaknya juga sudah jadi macam robot tanpa hati.

"Apakah Zam cuba menafikan kelahiran tokoh-tokoh dunia hari ini yang menulis dalam Bahasa Arab? Jika begitu, buanglah semua bahasa termasuk Bahasa Melayu dan sumbat otak rakyat Malaysua dengan ilmu dalam Bahasa Inggeris sahaja," bidas beliau.

Ahli Parlimen Bachok itu juga menyatakan bahawa Zam sememangnya dikenali tidak pernah menghargai ilmu dan ilmu agamanya sendiri.

Beliau memperumpamakan orang yang tidak pernah terima ilmu dalam Bahasa Arab umpama tidak pernah menonton filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee lalu menyatakan seniman agung itu tiada kedudukan.

Pun begitu kata Ustaz Nik Abduh, beliau tetap berharap dan mendoakan Zam tidak lupa peranan akal ciptaan Allah untuk dirinya. - HARAKAHDAILY 17/7/2018