Duyufurrahman dirai Adun Kemasik

Berita
Typography
KEMAMAN: Seramai 70 duyufurahman yang akan berangkat ke Tanah Suci menunaikan ibadah haji diraikan Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pada majlis di Masjid Tengku Mizan Zainal Abidin, Kertih, di sini kelmarin.
 
"Anda semua beruntung kerana terpilih dalam kalangan lebih satu bilion umat Islam di seluruh dunia untuk menjadi tetamu Allah S.W.T dan peluang keemasan itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan mengerjakan ibadah sebaik-baiknya," katanya.
 
Menurut beliau, haji adalah ibadah yang menguji kekuatan dan daya tahan iman justeru persiapan rapi dari segi rohani dan jasmani sangat diperlukan untuk menyempurnakan ibadah tersebut.
 
"Saya berharap para jemaah haji dapat menjaga kesihatan dan makan minum dengan baik sepanjang menunaikan ibadah haji agar dapat menjalaninya sehingga selesai selain perlu banyak bersabar dalam menempuh pelbagai ujian dari mula hingga akhir," ujarnya.
 
Beliau turut berpesan agar para jemaah haji tidak lupa untuk mendoakan kesejahteraan diri, keluarga dan rakan-rakan ketika berada di Tanah Suci.
 
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengerusi Masjid Tengku Mizan Zainal Abdin, Tuan Zahari Tuan Long dan Penyelaras Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-Mits) Dun Kemasik, Ustaz Mohamad Asri Kadir.
 
Secara keseluruhan seramai hampir 100 warga Kemasik akan menunaikan haji pada musim 2018 di mana penerbangan paling awal ke Tanah Suci adalah pada malam kelmarin. -HARAKAHDAILY 15/7/2018