Amir dan Ameerah, diumum pelajar cemerlang SPM Yik

Berita
Typography

DUA pelajar Yayasan Islam Kelantan (Yik) memperolehi keputusan 12 A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016.

Dua pelajar paling cemerlang itu Amir Abdul Basit dari Maahad Tahfiz Al Quraan Wal Qiraat dan Siti Ameerah Fauzi dari Maahad Muhammadi Perempuan.

Amir merupakan anak kepada pendakwah terkenal Datuk Dr Abdul Basit Abdul Rahman.

12AY1Manakala Ameerah pula anak kepada bekas imam terawih Qaryah Ramadan awal 90-an, Ustaz Fauzi Iberahim yang juga kakak kepada Johan Qari Jr Musim Ke-5 Ahmad Naufal.

Kedua pelajar ini mempunyai sejarah kehidupan dari keluarga yang hebat khususnya dalam pendidikan serta menjadikan al-Quraan amalan seharian mereka.

Mereka menerima keputusan peperiksaan dari mudir masing-masing Ustaz Mohd Nasir Mohd Hasbullah dan Ustaz Mansur Daud.

Sementara itu, Penolong Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Peperiksaan) Ustaz Anuar Rasyid berkata, calon yang berjaya memperolehi 9A hingga 12A seramai 91 orang.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 33 pelajar telah memperolehi semua A dalam semua mata pelajaran.

Ameerah ketika ditemui melahirkan rasa syukur di atas apa yang diperolehi.

Katanya, tanpa pengorbanan baba, mama serta guru, kejayaan itu mungkin tidak mampu dicapai.

“Syukur alhamdulillah dengan kehendak Allah kejayaan ini diperolehi,” ujarnya.

Ameerah bercita-cita untuk melanjutkan pelajarannya dalam Bahasa Arab di luar negara.

Sebelum itu beliau akan melanjutkan pengajiannya di Darul Quran Selangor.

Sementara itu, Datuk Dr Abdul Basit, turut melahirkan rasa syukur di atas kejayaan anaknya Amir yang dilahirkan di Madinah 17 tahun lalu.

“Kita memangnya patut bersyukur di atas kejayaan apa jua yang dicapai anak-anak.

“Apa yang penting perbanyakkan doa untuk mereka bukan hanya kejayaan dunia, sebaliknya akhirat,”ujarnya.

Kejayaan anak Abdul Basit bukan hanya diperolehi oleh Amir, sebaliknya baru-baru ini anaknya Anas turut memperolehi kejayaan cemerlang.

Anas yang juga belajar di Maahad Tahfiz al-Quraan Wal Qiraat turut memperolehi 10A dalam peperiksaan STAM. – HARAKAHDAILY 17/3/2017