Kelantan bantu usahawan berdikari

Berita
Typography

MINGGU Gerakan Usahawan Kelantan 2017 dianjurkan kerajaan negeri bagi memberi peluang usahawan-usahawan tempatan memasarkan produk mereka.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan, Zulkifli Mamat berkata, usahawan tempatan berpeluang memasarkan produk pada program berkenaan.

Katanya mereka juga dapat meningkatkan daya saing dalam menghadapi cabaran persekitaran perniagaan.

"Gerakan Usahawan Kelantan dianjurkan bagi menyedia peluang dengan program lebih konfrenhensif kepada usahawan tempatan dapat bersaing dengan usahawan luar.

“Minggu gerakan usahawan dianjurkan sebagai satu platform bagi membolehkan peniaga mempromosi produk mereka,” katanya pada sidang media di Kota Bharu hari ini.

Sebanyak 400 lot disediakan pada minggu usahawan tersebut yang mewakili pelbagai sektor.

Minggu Gerakan Usahawan Kelantan 2017 bermula 23 Mac sehingga 1 April 2017 bertempat di Pasar Seni Bazar Tok Guru, perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV dan Kelantan Trade Centre, Kota Bharu.

Pelbagai aktiviti akan diadakan sempena program berkenaan termasuk pasar seni, ekspo makanan halal Kelantan, karnival 'online' anak muda, laman sejahtera, jahitan kreatif dan seminar.

Orang ramai juga boleh mengikuti kelas memasak, pertunjukan magis, pertandingan PC Games, mini konsert Anak Muda Kelate, KB Buskers, cabaran chef cilik dan pertandingan mewarna kanak-kanak.

Perasmiannya akan disempurnakan Menteri Besar Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob  pada 23 Mac jam 11 pagi di Kelantan Trade Centre. – HARAKAHDAILY 16/3/2017