SPM: 10 sekolah Yik dapat 100 peratus

Berita
Typography

SEBANYAK 10 sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik) mendapat keputusan 100 peratus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 yang diumum hari ini.

Sekolah berkenaan Maahad Muhammadi Perempuan, Maahad Tahfiz Tanah Merah dan Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas yang mewakili maahad kawalan.

Tiga lagi sekolah maahad pilihan iaitu Maahad Muhammadi Tumpat, Maahad Pengajian Islam, Maahad Muhammadi Pasir Pekan dan Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Tarbiah Diniah Bunut Sarang Burung.

Sekolah agama bantuan kerajaan pula iaitu SMU (A) Al-Kauthar Peringat, SMU (A) Tarbiah Islamiah, Kuala Kajang dan SMU (A) Mardziah Jabo.

Pengumuman keputusan itu dibuat Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Ustaz Muhammad Awang di Nilam Puri hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Akademik) Yik, Ustaz Mohd Zaki Deraman dan Penolong Pengarah (Unit Penilaian dan Peperiksaan), Ustaz Anuar Rasid.

Mahaad Muhammadi Perempuan muncul sekolah terbaik setelah memerolehi Gred Purata Sekolah (GPS) 3.15 dan Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah pula 3.26.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat sehingga sekolah aliran Yik memperolehi keputusan membanggakan.

“Tahniah kepada pelajar, guru, ibu bapa khususnya Yik kerana telah berusaha keras sehingga kita mengekalkan kecemerlangan,” katanya.

Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob juga merakam ucapan tahniah kepada pelajar-pelajar yang berjaya.

Manakala di Maahad Muhammadi Lelaki (MML) seramai enam pelajar mendapat keputusan 11A dalam peperiksaan tersebut.

Pengetuanya, Kamarjan Abdul Rahman berkata jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 2015 iaitu lima pelajar mendapat 11A.

Katanya, peratus kelulusan SPM 2016 sekolah itu 91.81 peratus iaitu  penurunan 1.74 peratus berbanding tahun sebelumnya 93.56 peratus.

Katanya, seramai 5,399 pelajar Yik menduduki peperiksaan itu tahun lalu dengan pertambahan 418 calon. – HARAKAHDAILY 16/3/2017