Kahwin budak: Exco temui keluarga kanak-kanak

Berita
Typography

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan mendapat maklumat lanjut mengenai perkahwinan bawah umur yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md. Nawi berkata, beliau ke Gua Musang hari ini menemui keluarga kanak-kanak berusia 11 tahun yang terbabit dengan perkahwinan itu.

“Saya ingin mendapatkan penjelasan lanjut daripada keluarga berkenaan berhubung perkahwinan anak mereka.

"Saya minta maaf, saya tak boleh buat ulasan lanjut sebelum dapat bertemu dengan keluarga berkenaan,” ujarnya ketika ditemui hari ini di Kota Darulnaim sebelum bertolak ke Gua Musang.

Kelmarin anak pasangan yang berasal dari selatan Thailand berusia 11 tahun dilapor dinikahi dengan seorang lelaki berusia 41 yang berasal dari Gua Musang.

Pernikahan secara gantung itu dikatakan diadakan di negara jiran, tempat asal keluarga kanak-kanak terbabit.

Isu terbabit turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyifatkan dari segi peraturan perkahwinan gadis bawah usia sebagai tidak sah. - HARAKAHDAILY 2/7/2018