Yahaya Ali dilantik Speaker Dun Terengganu

Berita
Typography
KUALA TERENGGANU: Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri, Yahaya Ali dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Speaker Dun) Terengganu Ke-14, semalam.
 
Pelantikan beliau itu dicadangkan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat. 
 
Majlis Angkat Sumpah telah dilangsungkan pada hari pertama Persidangan Dun Terengganu, Penggal Pertama Ke-14, di sini semalam.
 
Sejurus selepas itu, istiadat pemakaian jubah dan songkok rasmi Speaker kepada Yahaya Ali disempurnakan oleh Dr Ahmad Samsuri dan Ustaz Satiful Bahri Mamat.
 
Sementara itu, majlis angkat sumpah Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (Adun) diketuai oleh Menteri Besar sendiri.
 
Seramai 22 Adun Kerajaan PAS Terengganu dan 10 Adun Barisan Nasional (BN) selesai mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dun pada sesi pagi itu.
 
Yahaya, 59, berkelulusan Diploma Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam, kini merupakan Timbalan Pengerusi Lajnah Hubungan NGO PAS Pusat dan Yang Dipertua PAS Kawasan Marang.
 
Beliau pernah dilantik Ahli Exco Kerajaan PAS Terengganu, pada tahun 1999-2004, tetapi tidak lagi bertanding pada PRU13 dan PRU14 lalu. -HARAKAHDAILY 2/7/2018