Menteri MITI biarkan Jeli tanpa pelabur

Berita
Typography

MENJELANG pilihan raya 1999 Umno menguar-uarkan sebuah kilang Proton akan dibina di parlimen Jeli.

Iklan itu didirikan  di hadapan stesen minyak Petronas, tidak jauh dari simpang ke Pekan Jeli. Papan iklan itu dibiarkan ditumbuh semak samun dalam tempoh begitu lama.

Kini sekiranya kita melalui jalan raya Tanah Merah-Gerik ia tidak kelihatan lagi. Papan iklan sudah lama terbalik.

Sebaliknya di belakang lokasi itu sekarang dibangunkan deretan rumah kedai dua tingkat.

Penghulu Mukim Sungai Satan, Mohd Hassan Sidi Ahmad berkata pemimpin Umno pernah menjanjikan mahu membina kilang Proton di Jeli.

Katanya, biar pun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed mewakili Jeli, namun tidak ada usaha membawa pelabur ke situ.

“Sepatutnya sebagai menteri MITI beliau membawa pelabur ke Jeli bagi mewujudkan peluang pekerjaan untuk anak-anak muda tempatan.

“Sehingga sekarang hampir tiga penggal pemimpin Umno itu menang di Jeli, namun tiada usaha dilakukan membawa pelabur ke sini,” katanya ketika ditemui di Jeli.

MUSTAPAPenyelia Dun Air Lanas Mustapa Idris, 60, juga berkata sejak Mustapa menjadi menteri yang mewakili Jeli, tidak ada kesungguhan dilakukan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Katanya kedudukan sebagai Menteri MITI tidak dimanfaatkan anggota parlimen Jeli untuk rakyat di kawasan itu.

“Sepatutnya tumpuan mewujudkan peluang pekerjaan sudah lama dilakukan sebagai menteri kabinet, namun kami melihat Mustapa tiada kesungguhan ke arah itu,” katanya.

Sedangkan katanya kerajaan negeri sehingga sekarang membina dua kilang di Jeli iaitu di Batu Melintang dan Lubuk Bongor bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk.

Beliau juga mendakwa ramai kontraktor kelas F di Jeli kecewa dengan ketua Umno terbabit kerana meminggirkan mereka daripada mendapat kontrak pembinaan di Jeli.

Menurutnya antara projek yang dilaksanakan sebelum ini termasuk pembinaan kampus Universiti Malaysia Kelantan, Politeknik dan Maktab Rendah Sains Mara. - HARAKAHDAILY 16/3/2017