Jangan lupa tolong siasat akaun parti PH

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: “Isnin ini bank sudah buka, boleh arahkan pihak berwajib lihat duit PAS dalam bank,” ujar Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Bagaimanapun, kata beliau ianya hendaklah mengikut prosedur.

“Tapi ikut prosedurlah, bukan main hentam kromo dan guna media.

“Main-main arah dan tuduh supaya akaun PAS dibeku kerana terlibat dalam penggubahan wang haram,” katanya menerusi laman sosial Facebook.

Justeru, beliau mempersoalkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sama ada hendak mengikut cara demokrasi atau majlis revolusi.

Ini, katanya kerana itu dikira main langgar sahaja untuk membuat tuduhan dan fitnah.

Sekarang, ujarnya lagi PH sudah ada kuasa dan mereka boleh mengambil sahaja tindakan.

“Mungkin PH tidak perasan dia sudah memerintah. Jangan lupa juga tolong siasat akaun parti PH sama,” tambahnya.

Sehubungan itu, katanya PH jangan pula ibarat ‘kata dulang paku serpih, tuduh orang dia yang lebih’. – HARAKAHDAILY 1/7/2018