GENERASI tuntut janji manifesto PH

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: NGO GENERASI menuntut janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 yang dibuat Pakatan Harapan (PH) khasnya kepada warga Felda ditunaikan segera.

Presidennya, Ustaz Roslan Md Esa berkata, antara isu besar yang membelenggu warga Felda adalah hutang.

Semasa kempen PRU14 kata beliau, PH berjanji mahu menghapuskan hutang peneroka.

Namun kata beliau, hingga kini janji itu hanya tinggal janji kosong walaupun telah hampir dua bulan mereka menerajui kerajaan pusat.

Kata beliau apa yang dihadapi peneroka Felda sejak Umno-BN menerajui agensi itu adalah seksaan dan tekanan yang berpanjangan.

Namun selepas kerajaan berubah, masalah yang sama kata beliau masih berlaku, sedangkan peneroka menanti perubahan yang dijanjikan.

"Setakat ini tiada apa apa pengumuman yang melegakan peneroka dan warganya. Kami anak generasi Felda juga sedang melihat dan memerhatikan perkembangan ini.

"Kita juga kekal dengan prinsip yang benar adalah benar dan yang salah adalah salah tanpa prejudis dalam masa yang sama pemberian duit raya tempohari sangat mengembirakan peneroka tetapi ia bersifat hanya duit raya tapi yang lebih besar adalah mana janji pilihan raya," katanya lagi . – HARAKAHDAILY 30/6/2018