Speaker tidak boleh pecat Menteri Besar

Berita
Typography

ALOR SETAR: "Speaker tidak boleh memecat Menteri Besar atau mana-mana Exco kerajaan negeri, malah jauh sekali mempunyai kuasa untuk membubar Dun," kata Adun Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat.

Katanya, Speaker hanya sekadar mempengerusikan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Baru-baru ini PAS menyerahkan senarai calon Speaker daripada parti itu bukan kalangan Adun sebagai penyelesaikan isu pelantikan Speaker di Kedah yang berlarutan sehingga sekarang.

Bagaimanapun Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Mahathir mempertikaikan calon yang dikemukakan PAS dan dianggap sebagai tidak layak kerana bukan kalangan Adun.

Azam juga berkata, tidak wujud sama sekali penambahan kerusi pembangkang sekiranya jawatan Speaker dimenangi calon dari PAS.

Dun Kedah sekarang mempunyai bilangan penyokong kerajaan dan pembangkang sama ramai iaitu 18 Adun. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas PAS menang 15 kerusi Dun. – HARAKAHDAILY 29/6/2018