Jaga sensitiviti penggunaan bahasa

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pengakuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu penggunaan Bahasa Mandarin sebagai satu kesilapan diharap agar ianya tidak berulang di masa akan datang.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, walaupun beliau meminta agar isu tersebut tidak diperbesarkan, namun perkara melibatkan Bahasa Kebangsaan tidak harus dianggap kecil.

"Lim Guan Eng sebagai Menteri Kabinet, tidak sepatutnya memberikan isyarat yang salah terhadap kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

"Beliau perlu dengan lebih hati-hati dalam menunjukkan keutamaan penggunaan bahasa yang sangat sensitif.

"(Tindakan) Beliau mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa seolah-olah Malaysia ada tiga Bahasa Kebangsaan.

Menurut Amzad, keperluan mengadakan terjemahan kenyataan rasmi asal Bahasa Melayu ke bahasa lain sememangnya perlu untuk memberi faham kepada kelompok rakyat yang hanya memahami bahasa ibunda.

Tetapi ujarnya, beliau bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Kota Baharu, Dato' Takiyuddin Hassan bahawa menjadi lebih tidak elok bila Menteri berkenaan hanya memasukkan kenyataan berbahasa Cina dalam facebook beliau. -HARAKAHDAILY 26/6/2018