Lompat parti bukan budaya politik Malaysia

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Lompat parti tidak boleh dijadikan budaya politik Malaysia, kata Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Beliau berkata, ini kerana kesannya amat besar seperti tidak memberi kestabilan dalam politik dan pentadbiran negara.

Biasanya, kata beliau kurang daripada lima peratus pengundi memilih atas faktor peribadi atau faktor selain daripada dasar dan prinsip perjuangan parti.

“Budaya seperti ini boleh memberi imej negatif kepada bangsa Malaysia tidak amanah kepada mandat rakyat dan tidak boleh dipercayai,” ujarnya.

Tambahnya, seseorang calon sudah pasti dapat merasai apa juga suasana sebelum mengambil keputusan untuk menerima sebagai calon dalam pilihan raya.

Katanya lagi, lompat parti bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang melompat dan pengundi berkaitan malah dapat memberi implikasi tertubuhnya kerajaan tanpa mandat majoriti.

Justeru, ujar beliau sudah tiba masa Malaysia menggubal akta berkaitan lompat parti bagi menjaga kewibawaan bangsa dan melahirkan pemimpin yang berprinsip.

Semalam, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali mengumumkan keluar Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas menyokong kerajaan Pakatan Harapan - HARAKAHDAILY 25/6/2018