Berebut Presiden Umno pula selepas PRU14

Berita
Typography

KOTA BHARU: Umno memerlukan pembaharuan secara menyeluruh selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, ketika parti itu memerlukan pemulihan Umno berdepan perebutan jawatan Presiden Umno selepas ditinggalkan Dato’ Seri Najib Razak.

Katanya, parti tersebut memerlukan penyusunan semula selepas ditolak rakyat pada PRU lepas.

"Bagi PAS kita melihat ini sebenarnya urusan dalaman Umno tetapi dengan ada ahli yang disebut hampir tiga juta, Umno dianggap masih mempunyai kekuatan tersendiri.

"Cuma dalam konteks barisan kepimpinan yang ada sekarang mungkin memerlukan semangat baru," katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Terbuka PAS Kelantan di Dataran Stadium di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob. Turut hadir kepimpinan utama PAS Kelantan, wakil rakyat dan penduduk bukan Islam.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut menyifatkan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mampu mengalas tanggungjawab sebagai Presiden Umno walau pun turut mendapat tentangan. – HARAKAHDAILY 19/6/2018