Wajah PAS pada pandangan Malaysia

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS melihat kebanyakan umum memahami Islam hanyalah satu agama, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“PAS melihat kebanyakan umum memahami Islam hanyalah satu agama, mengikut takrif religion atau agama sedangkan Islam adalah ad-din, yang merangkumi secara aspek, bukan saja aspek yang dikatakan agama mengikut kefahaman mereka, aspek spiritual, aspek moral, di sana aspek politik ekonomi yang membezakan Islam dengan teori dan idelogi-ideolgi lain,” ujarnya dalam temubual rancangan 100 Hari Malaysia Baru di stesen Astro Awani, hari ini.

Menurut beliau, Islam bersikap positif, mana-mana yang baik daripada ideologi yang lain sudah ada dalam Islam.

“Unsur yang negatif ditolak oleh Islam sepertimana dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW, ada perkara yang dinaskan secara khusus dalam perkara yang tak mungkin difikiran akal manusia, Allah Taala bagi petunjuk,” ujar beliau.

Tambahnya, yang kedua perkara yang umum, ia boleh dilaksanakan secara fleksibel.

"Manakala yang ketiga, perkara yang tak ada nas. Maka boleh digunakan kebijaksanaan mengikut pengalaman semasa yang sentiasa berubah dan masyarakat yang berubah.

"PAS perlu perkenalkan kepada masyarakat. Dengan sebab itu PAS tidak menjadi masalah menghadapi sebarang perkembangan berhadapan dengan masyarakat.

"Cuma perlu didedahkan kerana masyarakat umum mengetahui dalam aspek ekonomi sebagai contoh, mereka mengenali dua mazhab ekonomi, sama ada liberal kapitalisme, ataupun sosialisme ekstrem komunis, ataupun sosialime yang sederhana," kata Tuan Guru.

Jelas beliau, mereka tidak tahu di sana ada Islam yang berbeza dengan liberal kapitalisme dan sosialisme.

Menurut beliau lagi, perbezaan ketara dalam Islam adalah wujudnya aspek spiritual aspek rohani, yang ada dalam politik dan ekonomi yang tiada dalam ideologi lain. – HARAKAHDAILY 28/5/2018

ato