Umno diminta hormati keputusan Raja Perlis

Berita
Typography

KANGAR: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perlis, Dato’ Seri Shahidan Kassim dinasihat tidak membelakangi keputusan dibuat Raja Perlis berkaitan lantikan Menteri Besar.

ShukriPesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pemimpin politik jangan mempamerkan sikap angkuh sehingga membelakangkan undang-undang.

Katanya, Perkara 39 (4) Undang-Undang Perlis dengan jelas menyebut Raja berkuasa melantik Menteri Besar sama ada mendapat sokongan majoriti atau sebaliknya.

“Sikap yang dipamerkan Pengerusi Umno Perlis membuktikan beliau tidak menghormati institusi raja berpelembagaan.

“Kami berharap agar semua pihak tidak cepat melatah atau bersikap terburu-buru dalam mencari penyelesaian terhadap kepercayaan yang diberikan Tuanku Raja Perlis,” katanya di sini.

Baru-baru ini ketika Adun BN Bintong, Dato’ Seri Azlan Man mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Balai Menghadap, Istana Arau, namun sembilan Adun BN tidak hadir.

Krisis pelantikan Menteri Besar timbul ekoran Shahidan mengumumkan Adun Tambun Tulan, Dato’ Ismail Kassim, yang juga adiknya sebagai calon Menteri Besar baharu. - HARAKAHDAILY 28/5/2018