Yakep syor perkasa pendidikan Islam

Berita
Typography

KUALA NERUS: Bidang Pendidikan sangat penting bagi menjana generasi muda untuk melahirkan rakyat yang dapat menyumbang kepakaran mereka.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang baharu dilantik dapat melakukan perubahan besar dan positif kepada negeri Terengganu, khususnya kepada bidang pendidikan.

Perkara itu disuarakan Yang Dipertua (YDP) Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Terengganu (Yakep), Dr Mohd Hamdam Mohamad.

"Yakep berharap supaya Menteri Besar memberi perhatian kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Pondok-pondok (pengajian Islam) dan Pusat Pengajian Pra-Persekolahan seperti Pasti.

"Khususnya, dalam kebajikan kepada guru di pusat-pusat pendidikan itu. Sebenarnya, guru-guru Sekolah Agama Rakyat, juga banyak memberikan sumbangan dalam mendidik anak bangsa.

"Khususnya, dalam pendidikan akhlak dan pembangunan insan," ujarnya kepada Harakah.

Beliau berkata demikian ketka ditemui di pejabat Yakep, Bangunan Masjid Jamek, Kampung Tok Jiring, di sini semalam.

Dr Hamdam mendakwa sebelum ini, Sekolah-sekolah Agama Rakyat kurang mendapat perhatian kerajaan khususnya berkaitan kebajikannya.

"Mereka dianaktirikan dalam banyak perkara. Oleh itu, pihak Yakep sangat berharap supayaa guru-guru Sekolah Agama Rakyat juga diberikan pembelaan yang sewajarnya oleh kerajaan negeri sekarang.

"Ini penting supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan lebih berkesan lagi.

"Peranan dan sumbangan mereka yang tidak kecil itu harus dinilai dengan positif dan diberikan penghargaan sewajarnya oleh Kerajaan PAS Terengganu," jelasnya.

Yakep merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berpengaruh telah berkecimpung selama 40 tahun dalam bidang pendidikan yang bermula dengan Institut Berakan (IB) di Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, beliau dan seluruh warga kerja NGO Yakep dan Maahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah Darul Iman (MTT) merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan atas pelantikan Dr Ahmad Samsuri dan Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat. -HARAKAHDAILY 22/5/2018