Adun PAS Kemasik iltizam atasi miskin tegar

Berita
Typography
DETIK pertemuan mereka bermula apabila Mohammad Fazrul Hisyam Ismail, 24, pengawal keselamatan di salah sebuah bank komersil di Kertih diperkenalkan kepada Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili oleh kakitangan bank berkenaan ketika sedang berurusan di situ, pada petang kelmarin.
 
"Maaf YB, dok cam (tak kenal) pulak kiter, (pula kita)" sapa Fazrul, malu.
 
" Dok (tak) apa," balas Ir Saiful bersahaja.
 
"Tolong YB, kiter nok (nak) rumah....anak tiga doh loni (sekarang), duduk dalam pondok robek jer (buruk saja)," luah Fazrul.
 
" Dok mana?" tanya wakil rakyat itu ringkas.
 
"Kemasik, belakang Mesra Mall. Marilah YB tengok pondok buruk kiter," pelawanya.
 
"Insya-Allah, ambe (saya) cuba turun tengok, tapi tak leh janji bila," balas Ir Saiful.
 
Rupa-rupanya, Adun baharu PAS itu mengambil masa tidak sampai 24 jam untuk muncul di hadapan teratak Fazrul sekeluarga.
 
Pagi Jumaat, hari kedua Ramadan adalah hari yang cukup bermakna untuk Fazrul, isteri dan anak-anak apabila wakil rakyat muda itu dengan tidak kekok bersimpuh bertanya khabar mereka anak-beranak.
 
Bapa muda ini sebenarnya, berkongsi kehidupan dengan isterinya, Nur Atiqah Wahamizan, 22, serta tiga anak.
 
Puteri sulong berusia empat tahun bernama Nurul Arissa Farhana, anak kedua pasangan ini juga perempuan, berusia dua tahun diberi nama Nurul Auni Farzana dan anak ketiga mereka, lelaki bernama Mohammad Aryan Fakhir, lahir pada 27 Mac 2018 lalu.
 
Meraih pendapatan bersih sebagai pengawal keselamatan sekadar RM800 sebulan, namun keluarga ini cukup bertuah apabila turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM400 sebulan.
 
Pondok yang didiami Fazrul sekeluarga dibina di atas tanah kerajaan sejak mula-mula berkahwin dengan Nur Atiqah lima tahun lalu. Bahan binaan pula adalah kayu-kayu terpakai dan dibangunkan sendiri oleh beliau.
 
Ir Saiful Azmi kelihatan cukup tersentuh hati melihat kedaifan kediaman Fazrul. Terdiam beliau seketika, sebelum keluar bait- bait kata.
 
"Dah lama kita buat ziarah kebajikan seluruh kawasan Dun, namun masih ada yang tersisih dari pengetahuan.
 
"Saya amat memahami dan prihatin akan isu ini, berazam sepenuhnya untuk membasmi masalah miskin tegar dan keperluan rumah rakyat di kawasan kita ini, insya-Allah.
 
"Saya berjanji untuk cuba menyelesaikan masalah tempat tinggal Fazrul dan keluarga sewajarnya dan doakan saya diberi kekuatan untuk berada bersama rakyat melestarikan Kemasik Sejahtera," iltizam beliau menunai impian. -HARAKAHDAILY 19/5/2018