24
Fri, Mar
163 New Articles

Hari Air Sedunia 2017: Air bukan sisa

Surat Pembaca
Typography

HARI Air Sedunia disambut setiap 22 Mac. Sambutan ini adalah bertujuan untuk menandakan kepentingan air kepada tamadun manusia dan alam sekitar. Hari Air Sedunia tahun ini memberi tumpuan kepada air sisa (wastewater). Selepas air digunakan untuk aktiviti harian kita, kita melepaskannya sebagai air sisa. Malangnya, peningkatan populasi manusia dan aktiviti ekonomi telah meningkatkan beban pencemaran kepada sumber-sumber air dan masalah kekurangan air di peringkat global.
 
Air Sisa Daripada Kita
Air sisa domestik kita mempunyai dua laluan, iaitu sama ada dirawat sebagai sisa pembetungan atau dilepaskan terus ke sungai. Kita juga mempunyai air sisa daripada sektor perniagaan dan industri. Jabatan Alam Sekitar memantau pelepasan air sisa secara terpilih daripada aktiviti komersial dan industri berdasarkan jenis aktiviti dan potensi kesan pencemaran.

Walau bagaimanapun, mekanisme kawalan pencemaran semasa adalah 'usang' dan mekanisme kawalan pencemaran yang lebih berkesan adalah penting untuk kewujudan kita sebagai sebuah negara. Air adalah jaminan keselamatan negara kita. Kawalan pencemaran harus merangkumi beban pencemaran sebagai kriteria utama untuk mencerminkan kepadatan penduduk dan aktiviti ekonomi sebenar. Hanya melalui kaedah ini kita boleh memastikan keberkesanan undang-undang kawalan pencemaran dan akhirnya mengubah kesan pencemaran pada sungai kita.
 
Air Sisa Kepada Makanan Kita
Air sisa yang dilepaskan akan mengalir ke sungai dan berakhir di dalam laut. Oleh sebab keupayaan air mengalir dan meresap melalui tanah, ia boleh membawa bahan-bahan pencemar bersama-sama. Dalam jangka masa panjang, bahan-bahan pencemar ini akhirnya akan terkumpul dalam flora dan fauna. Ini adalah sebahagian daripada makanan kita. Kita perlu mengambil satu langkah ke hadapan untuk mengelakkan kejadian seperti Minamata bay di Jepun di mana keracunan merkuri telah meninggalkan sejarah yang sangat gelap dan dikenali sebagai penyakit Minamata.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kimia untuk menjalankan persampelan yang kerap ke atas air mentah, air terawat, makanan mentah (sayur-sayuran, buah-buahan, haiwan akuatik, dan lain-lain) dan makanan diproses untuk memastikan ia selamat untuk digunakan. Persampelan mesti rawak dan lokasi persampelan perlu kekal sulit untuk mengelakkan apa-apa percubaan untuk mencairkan sampel. Kementerian Kesihatan juga perlu menerbitkan penemuan tersebut.
 
Air Sisa Kepada Air Terawat
Terdapat penyelesaian yang mencukupi untuk menggunakan semula air sisa dalam pelbagai aplikasi industri. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri perlu melihat kepada pembentukan kompleks-kompleks perindustrian di mana air sisa dan juga sisa dari satu industri digunakan sebagai sumber kepada industri yang lain. Sebagai contoh, efluen terawat loji rawatan kumbahan juga boleh ditukar kepada air terawat bagi kegunaan bukan untuk minuman (non-potable use) dalam zon komersial dan perindustrian.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) perlu menguatkuasakan kecekapan air untuk pengguna komersial dan industri. Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 memberi kuasa kepada SPAN untuk menentukan dan mengehad penggunaan air terawat bagi aktiviti-aktiviti yang terpilih. Walau bagaimanapun, tidak ada peraturan atau undang-undang yang memberi mandat untuk pengurangan pelepasan air sisa bagi sektor komersial, industri dan pertanian yang menggunakan air mentah secara langsung. AWER telah mencadangkan beberapa kali kepada pihak berkuasa untuk menangani isu yang terbiar ini.
 
Air Sisa Kepada Tenaga
Air sisa dari pembetungan, pertanian dan sisa pepejal boleh digunakan untuk menghasilkan biogas. Biogas boleh digunakan untuk menjana elektrik. Loji-loji rawatan berpusat adalah penting untuk memastikan operasi skala besar dan kemampanan penyelesaian ini. AWER telah mengemukakan beberapa penyelesaian mengenai perkara ini.
 
Air Bukan Sisa
Sisa kepada sumber bukan satu kenyataan sahaja. Ia adalah satu realiti. Permintaan bagi air mentah dan air terawat perlu diurus secara holistik. Satu cara yang berkesan kita boleh berbuat demikian adalah dengan menggunakan semula dan kitar semula air sisa dalam fasiliti-fasiliti yang terpilih. Penyelesaian ini bukan sahaja mengurangkan permintaan, ia juga meningkatkan penggunaan teknologi baru serta pembangunan bidang teknikal dan alam sekitar yang baru.

Kita berhasrat untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Tetapi, kita masih bergelut dengan isu-isu berkaitan air sisa dan tidak menguruskannya seperti mana yang dilakukan oleh negara-negara maju. Apa lagi yang kita tunggu? Tahun 2020 hanya kurang daripada 3 tahun lagi! – HARAKAHDAILY 21/3/2017
 
Penulis ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)