27
Mon, Mar
181 New Articles

PAS terima RM90 juta daripada Umno?

Surat Pembaca
Typography

PADA 9 Februari 2017, Datuk Husam Musa menuduh PAS menerima RM 90 juta daripada Umno melalui akaun Affin Bank.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menjawab, PAS tidak menerima sebarang dana daripada Umno. Lagipun PAS hanya ada akaun di dua buah bank: Bank Islam dan Maybank.

Kemudian pada 13 Mac 2017, Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin dari PAN, melontarkan soalan di Parlimen sama ada SPRM atau PDRM ada membuat siasatan berkenaan dakwaan tersebut.

Soalan ini dijawab oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low, yang memaklumkan bahawa hasil penilaian SPRM menunjukkan tiada bukti dan tiada unsur yang membolehkan siasatan dibuat.

Perkara yang sama berlaku terhadap dakwaan PAS menggelapkan dana derma Memali suatu masa dahulu, kononnya PAS makan harta anak yatim. Laporan polis telah dibuat. Siasatan telah dijalankan. Akhirnya tutup kes.

Teringat semasa krisis pemecatan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada tahun 2014, macam-macam tuduhan dilempar terhadap TSKI. Setiausaha Agung PKR pada masa itu, Datuk Saifuddin Nasution siap mempamerkan fail 91 muka surat yang dikatakan mengandungi rekod rasuah dan salah laku TSKI.

DAP pada waktu itu menyokong hasrat PKR hendak memecat MB Selangor. Namun PAS berpendirian, selagi tidak dibuktikan bersalah di mahkamah atau didakwa oleh institusi yang berkenaan, maka jangan pecat TSKI. Akibatnya, PAS pun turut kena hentam.

Selepas krisis selesai dan TSKI dipecat dan Sultan Selangor murka dan Dato' Seri Mohamed Azmin Ali dan bukannya Datuk Seri Wan Azizah yang menjadi MB baru, TSKI bertindak menyaman Saifuddin Nasution dan PKR kerana memfitnah beliau.

Akhirnya pada 14 Ogos 2015, Saifuddin Nasution membuat permohonan maaf kepada TSKI di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Beliau mewakili dirinya dan PKR menyatakan rasa kesal kerana mengeluarkan dokumen berunsur fitnah tersebut.

Pendirian PAS konsisten dalam hal sebegini. Pada Mac 2016 ketika riuh isu rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membeli banglo di bawah harga pasaran, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, walau sebelumnya berterusan dihentam oleh DAP dan proksi, tetap menyatakan bahawa Lim Guan Eng tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah di mahkamah.

Berbeza sedikit dengan DAP Pulau Pinang melalui mesyuarat pada 25 Mac 2016 memutuskan Lim Guan Eng langsung tidak bersalah – mesyuarat parti jadi macam mahkamah pula.

Masalah timbul apabila sesetengah pihak gemar mencampur-adukkan berita palsu dalam ucapan/dakwaan mereka demi kepentingan politik murahan. Seperti cerita pengembala kambing dengan serigala. Lama-kelamaan hilanglah integriti dan kepercayaan rakyat terhadap mereka.

Lalu orang bertanya, bila PAS hendak saman Sarawak Report dan Husam Musa?

Jawapan: Dalam proses.

Kenapa lambat sangat?

Jawapan: Kita pakai peguam hendak beli tanah dalam daerah sendiri pun ambil masa berbulan malah bertahun untuk tukar nama pemilik, inikan pula kes di luar negara.

Seperti jawapan Naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad, “Proses saman memang lambat, yang cepatnya bawa lari kerusi.” - HARAKAHDAILY 16/3/2017