25
Tue, Apr
26 Artikel Baru

Saya ingin berkongsi kepada pembaca tentang kecanggihan teknologi zaman sekarang seperti telefon pintar, laptop dan sebagainya. Di sini saya ingin fokuskan kepada teknologi komunikasi. Memang tidak dapat di nafikan lagi, teknologi saat ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup manusia. Berbagai inovasi diciptakan dengan tujuan untuk memudahkan hidup manusia mahupun memberi manfaat kepada mereka. Kehadirannya telah memberi pengaruh yang cukup besar terhadap kehidupan umat manusia dalam pelbagai aspek. Kecanggihan teknologi juga mempunyai kebaikan serta keburukan dalam penggunaanya. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa memerhatikan anak-anak ketika mereka sedang asyik melayankan “smartphone” mereka.

Antara kebaikannya ialah bagi para pelajar kecanggihan teknologi ini mampu membantu   mereka untuk mencari maklumat-maklumat penting tentang pelajaran. Kecanggihan teknologi yang disebutkan di sini ialah internet. Internet memberikan kepada kita kekuatan daya imaginasi, inovasi dan teknologi komunikasi yang membolehkan penyebaran maklumat dalam kualiti yang hampir sempurna dalam waktu yang sangat cepat serta mudah. Teknologi tidak menunggu kita malah kita yang harus mengejar kecanggihan teknologi zaman sekarang.

Selain itu, ia juga mampu menjimatkan masa kita dalam kehidupan harian sebagai contoh, membeli belah secara atas talian (online). Dalam era ini, kita tidak perlu bersusah payah beratur atau berebut untuk membeli barang keperluan harian secara terus. Ini kerana, dengan adanya smartphone ataupun gadget anda boleh membeli belah secara online, hanya dengan sentuhan pada skrin gadjet anda barang yang anda idamkan terus ada di depan pintu anda.

Di samping itu, kemudahan komunikasi juga dapat membantu kita untuk berkomunikasi dengan saudara-mara yang jauh dengan hanya menggunakan telefon, laman media sosial seperti facebook, whatsapp, skype dan lain-lain. Seperti kita ketahui, masyarakat pada zaman dahulu hanya menggunakan sehelai kertas untuk berkomunikasi dengan sahabat atau saudara-mara yang jauh berbeza dengan masyarakat zaman sekarang. Kemudahan komukasi ini banyak membantu kita untuk berhubung dengan masyarakat di seluruh pelosok dunia.

Di samping itu, teknologi komunikasi juga mempunyai keburukan terhadap masyarakat zaman sekarang. Antaranya ialah menyebarkan khabar angin. Yang dimaksudkan dengan khabar angin di sini ialah sesuatu berita yang belum dipastikan lagi kebenarannya tersebar secara meluas tanpa sebarang sekatan. Perkara yang paling membimbangkan ialah kita tidak mampu menyaman atau mendakwa siapa yang menyebarkan khabar angin kerana laman web misalnya tidak memaparkan identiti sebenar penyabar tersebut. Melalui situasi ini, penyebaran khabar angin ini akan terus dilakukan oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab tanpa ada rasa takut. Justeru, tidak hairanlah banyak khabar angin disebarkan dalam laman web atau laman sosial pada hari ini. Erti kata lain ialah viral sudah menjadi trend kepada masyarakat zaman sekarang.

Teknologi komunikasi atau secara amnya gadjet boleh menyebabkan gangguan tidur kita. Kajian mengatakan untuk manusia normal, kita perlu tidur sekurang-kurangnya 8 jam sehari. Penulis juga mengalami masalah yang sama dimana kita selalu tidur lewat disebabkan leka bermain gadjet sehingga lewat malam. Kesannya cahaya yang bersinar dari skrin gajet boleh mengganggu urat saraf kita serta menjejaskan kesihatan kita sebagai contoh rabun pada usia yang muda.

Tambahan pula, ia juga mampu menjejaskan pelajaran para pelajar di mana pelajaran mereka boleh terjejas sekiranya masa untuk mengulangkaji pelajaran telah digantikan dengan masa melayan gadjet sekali gus telah melalaikan mereka. Pelbagai aplikasi yang menarik dalam gadjet lebih menarik minat mereka daripada menghadap buku pelajaran. Sekiranya pelajar membawa gadjet ke dalam kelas, perkara lebih buruk akan berlaku di mana tumpuan kepada apa yang diajar oleh guru akan terjejas. Oleh kerana itu pihak sekolah melarang pelajar untuk membawa sebarang alat komunikasi mereka ke sekolah.

Sebagai kesimpulannya, kita dapat lihat bahawa teknologi zaman sekarang bergerak semakin pantas. Oleh itu kita perlulah menjadi pengguna yang bijak serta tahu membezakan yang baik dan yang buruk. - HARAKAHDAILY 24/4/2017

Penulis ialah Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia.

Masjid merupakan rumah Allah yang mana menjadi tempat umat Islam beribadah. Masjid juga menjadi simbol penyatuan umat Islam apabila mereka menghadirkan diri untuk beribadah secara berjemaah. Masjid memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan masyarakat Islam bagi memacu mereka ke arah kemajuan.

Pada zaman Rasulullah SAW, masjid menjadi tempat menunaikan ibadah dan juga tempat pengajian al-Quran. Hal ini membuktikan masjid mempunyai kedudukan yang tinggi bagi umat Islam pada zaman itu. Namun, masyarakat pada zaman kini semakin sibuk dengan urusan dunia lalu tanggungjawab mengimarahkan masjid kian dilupakan.

Pergi ke masjid dari usia muda

Saban tahun, kita dapat melihat masjid hanya penuh dikunjungi para jemaah semasa bulan Ramadhan. Tamat bulan Ramadhan, maka masjid tidak lagi menjadi tumpuan umat Islam. Lazimnya, masjid hanya dipenuhi golongan warga emas yang berusia 50 tahun ke atas. Seharusnya, sifat mengimarahkan masjid harus dipupuk dari awal usia walau sesibuk mana pun kita dengan komitmen di luar.

Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat ke-18 yang bermaksud: “Hanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”

Tambah iman dan taqwa

Maka, apabila kita mengimarahkan masjid, ia dapat menambahkan keimanan dan ketaqwaan dalam diri kita. Mengimarahkan masjid bermaksud menghadirkan diri ke masjid dan menunaikan ibadah-ibadah yang bermanfaat bagi diri sendiri dan juga masyarakat. Antaranya, mendirikan solat secara berjemaah, mengadakan majlis ilmu, tadabbur al-Quran dan ibadah lain juga.

Kesatuan Umat Islam

Kepentingan dunia boleh memecah-belahkan umat manusia kerana mereka hanya sibuk dengan urusan mereka sendiri sahaja dan tidak menghiraukan masyarakat sekeliling. Hal ini juga boleh mencetuskan perasaan hasad sesama mereka.

Maka, pertemuan semasa menunaikan ibadah seperti solat berjemaah boleh mengeratkan silaturrahim sesama saudara Muslim dan mendamaikan permusuhan sekiranya niat untuk hadir ke masjid itu ikhlas dan bukan untuk menunjuk-nunjuk banyaknya ibadah yang dilakukan. Sesungguhnya tiada tempat yang lebih baik untuk menyatukan umat Islam melainkan di dalam masjid.

Secara tuntasnya, tanggungjawab mengimarahkan masjid merupakan peranan umat Islam bersama. Kita hendaklah menjaga dan mengimarahkan masjid demi kemaslahatan ummah.

Setiap individu Muslim haruslah mengambil bahagian dalam memastikan masjid terus menjadi pusat tumpuan umat Islam untuk beribadah dan menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan agama. Tanamlah niat untuk menghadirkan diri ke masjid setiap hari dan bukan hanya terhad pada bulan Ramadhan sahaja. - HARAKAHDAILY 24/4/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.

Setiap tokoh mempunyai sifat ketokohannya yang tersendiri. Jika ditanya mengenai tokoh Islam dalam bidang ilmu matematik, sudah pasti tidak lain dan tidak bukan beliau ialah Muhammad Ibn Musa al-Khawarizmi atau lebih dikenali sebagai Al-Khawarizmi.

Selain itu, beliau juga dikenali sebagai Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Yusoff.  Di barat, Al-Khawarizmi dikenali dengan beberapa cara ejaan lagi, antaranya al-Khawarizmi, al-Cowarizmi, al-Ahawizmi, al-Karismi, al-Goritmi, dan al-Gorismi.

Beliau telah dilahirkan pada tahun 780 Masihi di Bukhara, Uzbekhistan. Yang mana merupakan salah satu kota tertua di Asia Tengah.

Penglibatan beliau dalam bidang pendidikan telah membuktikan bahawa Al-Khawarizmi ialah seorang tokoh Islam yang berpengetahuan luas. Pengetahuan dan kemahiran beliau bukan sahaja meliputi bidang syariat tetapi juga dalam bidang falsafah, logik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan, sejarah Islam dan kimia.

Oleh itu, beliau sememangnya seorang pakar ilmu yang dikagumi dan dihormati orang ramai.

Al-Khawarizmi merupakan seorang guru aljabar di Eropah.  Beliau telah menciptakan pemakaian Secans dan Tangens dalam penyelidikan trigonometri dan astronomi.

Dalam usia muda, beliau bekerja di bawah pemerintahan Khalifah al-Ma’mun, iaitu bekerja di Bayt al-Hikmah di Baghdad.

Beliau bekerja dalam sebuah observatory iaitu tempat menekuni belajar matematik dan  astronomi.  Al-Khawarizmi juga dipercayai memimpin perpustakaan khalifah.  Beliau pernah memperkenalkan angka-angka India dan cara-cara perhitungan India pada dunia Islam.  Beliau juga merupakan seorang penulis Ensiklopedia Pelbagai Disiplin.

Ketokohan al-Khawarizmi dapat dilihat dari dua sudut iaitu dari bidang matematik dan astronomi.

Dalam bidang matematik, al-Khawarizmi telah memperkenalkan aljabar dan ilmu hisab. Beliau banyak menghasilkan karya-karya yang masyhur ketika zaman tamadun Islam. Antara karya-karya yang telah dihasilkan oleh beliau ialah ‘Mafatih al-Ulum’.  Sistem nombor adalah salah satu sumbangan dari beliau dan telah digunakan pada zaman tamadun Islam.

Banyak lagi kaedah yang telah diperkenalkan oleh beliau dalam setiap karya yang dihasilkan.  Antaranya ialah kos, sin dan tan dalam trigonometri penyelesaian persamaan, teorem segitiga sama juga segitiga sama kaki dan mengira luas segitiga, segi empat selari dan bulatan dalam geometri.  Masalah pecahan dan sifat nombor perdana dan teori nombor juga diperkenalkan.  Banyak lagi konsep dalam matematik yang telah diperkenalkan al-khawarizmi sendiri.

Selain itu, bidang astronomi juga membuatkan al-Khawarizmi dikenali pada zaman tamadun Islam.  Astronomi dapat ditakrifkan sebagai ilmu falaq iaitu pengetahuan tentang bintang-bintang yang melibatkan kajian tentang kedudukan, pergerakan, dan pemikiran serta tafsiran yang berkaitan dengan bintang.

Penggunaan matematik dalam astronomi sebelum tamadun Islam amat sedikit dan terhad.  Ini disebabkan oleh kemunduran pengetahuan matematik yang terhad kepada penggunaan aritmetik dan geometri sahaja.

Di samping itu, Al-Khawarizmi juga banyak menghasilkan karya-karya beliau yang tersendiri. Antaranya ialah, Al-Jabr wa’l Muqabalah, Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah, dan juga Sistem Nombor.

Bukan itu sahaja, malah banyak lagi ilmu pengetahuan yang beliau pelajari dalam bidang matematik dan juga menghasilkan konsep-konsep matematik yang begitu popular sehingga digunakan pada zaman sekarang.

Sebagai seorang pelajar, menguasai kemahiran dan ilmu pengetahuan secara konsisten amat penting agar ilmu itu dapat diaplikasikan dari semasa ke semasa. Sebagai contoh, mahasiswa pada hari ini seharusnya menjadikan Al-Khawarizmi sebagai ikon dan idola dalam diri pelajar untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai cabang-cabang ilmu hisab yang telah diperkenalkan oleh Al-Khawarizmi pada zaman dahulu seperti geometri, algebra, aritmetik dan sebagainya.

Selain itu, sebagai seorang mahasiswa yang berwawasan tinggi, ciri-ciri akhlak mulia juga hendaklah disemaikan kedalam ilmu matematik dan juga ia perlu dimasukkan kedalam ilmu-ilmu Islam yang lain. Sebagai contoh, antara akhlak yang terdapat dalam bidang matematik ini adalah penemuan aljabar yang mana melambangkan keadilan. Hal ini kerana, sifat keadilan sangat dituntut dalam agama Islam. Oleh itu, melalui asas pradigma tauhid dan sya’iyah, dapat memperkukuhkan lagi pembinaan akhlak seseorang.

Di samping memiliki akhlak yang mulia, mahasiswa juga haruslah menanam semangat yang tinggi dalam mempelajari sesuatu ilmu dan tidak mudah berputus asa untuk mencapai sesuatu matlamat. Sebagai contoh, kesungguhan Al-Khawarizmi dalam mempelajari sesuatu ilmu telah dibuktikan oleh beliau sendiri melalui hasil-hasil karyanya yang terdahulu. Buktinya, hasil-hasil karya beliau masih diguna pakai sehingga ke hari ini.

Seperti mana yang kita ketahui, beliau juga bukan hanya mahir dalam satu ilmu, bahkan mahir dalam pelbagai bidang ilmu yang lain seperti ilmu falsafah, muzik, kejuruteraan, falak, dan sebagainya. Untuk mendapatkan ilmu-ilmu tersebut, bukanlah hanya dipetik dengan jari bahkan memerlukan kesungguhan dan semangat yang tinggi sehingga menjadikan beliau di antara tokoh-tokoh Islam yang berpengaruh dan terkenal pada zaman usianya yang muda.

Oleh itu, dalam menuntut ilmu sebagai seorang pelajar, mahasiswa perlulah bijak dalam mengendali dan mengatur aktiviti hariannya supaya tidak lupa akan tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah. Kesibukan mempelajari ilmu juga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meninggalkan amalan-amalan wajib seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Sebagai contoh, sekalipun Al-Khawarizmi sentiasa sibuk mengkaji dan mempelajari ilmu-ilmu baru, tidak menjadikan beliau lupa kepada tuntutan yang wajib dalam Islam. Beliau bukan hanya dikenali sebagai tokoh yang mahir dalam pelbagai ilmu, bahkan beliau juga dikenali sebagai tokoh yang alim dan kuat dalam amal ibadah. Ini bermakna Al-Khawarizmi berjaya mengatur kehidupannya dengan baik dan berjaya mengimbangkan aktiviti hariannya antara dunia dan juga akhirat.


Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.

ORANG yang berhutang tidak diampunkan dosanya oleh Allah. Islam menitikberatkan dalam soal memberi, menerima dan membayar hutang kerana ia berhubung kait dengan hubungan sesama manusia ketika di dunia dan di akhirat kelak.  

Firman Allah bermaksud: "Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketakwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Jika kita lihat hari ini, pemberi hutang pula yang segan untuk mengingati si penghutang daripada membayar hutangnya.

Pada waktu yang sama, Islam menggalakkan umatnya untuk membantu dan memberi pertolongan sesama mereka apabila dalam kesusahan, dari segi pelbagai bentuk seperti pinjaman secara hutang untuk meringankan beban mereka yang sedang dihadapi, terutama dalam memenuhi keperluan asasi hidup.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah (semata-mata untuk mendapatkan pahala) dengan pinjaman yang baik (ikhlas) akan digandakan balasannya dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia." (Surah al-Hadid, ayat 18)

Bagaimana boleh terjadinya amalan berhutang ini?

Antara faktor yang menyebabkan terjadinya sikap berhutang itu adalah yang pertama, cuba memenuhi kehendak hawa nafsu untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu dimiliki.

Kedua, sikap rasa tidak berpuas hati dengan apa yang dimiliki sehingga sanggup meminjam duit dengan orang lain demi mendapatkannya.

Ketiga, kemudahan pinjaman yang disediakan oleh beberapa pihak tertentu seperti institusi kewangan, mungkin menggalakan mereka untuk berhutang.  
 
Dalam situasi sebegini, jika perkara yang hendak dimiliki itu adalah yang melibatkan keperluan asasi seperti makanan, minuman, tempat tinggal, pelajaran maka islam membenarkan meminjam dari orang lain. Sebagaimana dalam sebuah hadis bermaksud: "Daripada Abu Hurairah berkata seseorang: Ya Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda bersabda Memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya."

Kesan kepada orang yang berhutang sangatlah besar jika tidak diambil serius akan kesannya.  
 
Seseoarang yang berhutang itu tidak akan berasa tenang selagi mana hutangnya tidak dilangsaikan. Sikap suka berhutang akan menjadi satu tabiat yang akan sentiasa dilakukan sehingga susah untuk tinggalkan perangai tersebut.
 
Seseorang yang terbeban dengan hutang dan sikap tersebut mungkin akan mendorong beliau untuk melakukan perbuatan yang dilarang oleh syarak seperti mencuri bagi melunaskan hutang tersebut.
 
Rasulullah SAW pernah berwasiat kepada sahabat Baginda agar mengurangkan hutang seperti sabdanya yang bermaksud: "Kurangkanlah dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkanlah daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas.

Amalan berhutang bukan saja membabitkan kehidupan dunia semata-mata, bahkan berpanjangan hingga ke hari akhirat dan itulah yang paling kita takutkan jika kita berhutang dan tidak diampunkan oleh Allah SWT.

Berhutang memang dibolehkan, namun menghindarinya adalah lebih baik. Setiap rezeki sudah diaturkan oleh Allah SWT. Hanya tinggal bagaimana kita menjemput rezeki tersebut agar memperolehinya dengan cara yang halal.

Justeru, marilah kita sama-sama menjauhkan diri kita dari sifat berhutang dan mengamalkan sifat yang terpuji dalam kehidupan seharian kita supaya kita tidak cenderung ke arah keburukan.

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.

ISLAM sebagai cara hidup memberi fokus kepada setiap perkara yang membabitkan keperluan umatnya termasuk adab hidup berjiran kerana selain keluarga, seseorang mukmin diingatkan supaya menjaga serta memelihara hubungan sesama jiran tetangga.

Semangat kejiranan dalam masyarakat secara umumnya dilihat masih kental. Namun, tidak dinafikan wujud persekitaran di mana sikap tidak mengambil kisah mengenai kebajikan jiran sekeliling semakin ketara.

Jiran merupakan tetangga atau jiran tetangga yang tinggal sebelah menyebelah dan berdekatan dengan kediaman kita. Jiran juga bukan sekadar yang tinggal di sebelah kedua- dua rumah kita, tetapi orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita sama ada di kanan, kiri, depan, belakang, tingkat atas, tingkat bawah hingga 40 buah rumah dari setiap sudut. Sejak zaman berzaman manusia secara fitrah hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang saling memerlukan dalam menjalani kehidupan.

Hidup berjiran juga merupakan amalan mulia serta memberi manfaat kepada manusia. Dalam hidup berjiran mestilah saling mengenali antara satu sama lain dan berbuat baik sesama mereka. Hakikatnya Allah SWT. sendiri memerintahkan umat Islam supaya saling berbuat baik dengan jiran tetangga.

Justeru, masyarakat perlu menghayati tentang suruhan agama supaya memelihara hubungan kejiranan sebagai satu cara ke arah perpaduan ummah. Tambahan pula, mana- mana kawasan perumahan kebanyakannya dihuni penduduk pelbagai bangsa.

Nabi SAW telah menyatakan dalam hadisnya bahawa Jiran tetangga mempunyai tiga kategori iaitu:

Jiran muslim yang ada hubungan kekeluargaan baginya, maka dia mempunyai tiga hak iaitu sebagai jiran, keluarga (kerabat) dan seorang Muslim.

Jiran Muslim yang mempunyai dua hak, iaitu sebagai hak jiran dan hak seorang Muslim.

Jiran bukan Islam, yang mempunyai satu hak iaitu sebagai hak jiran.

Di dalam hadis Nabi SAW juga banyak yang memberi penekanan kepada jiran, di antara hadis baginda yang bermaksud: “Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” (Hadis riwayat Muslim)

Begitulah tingginya kedudukan jiran dari sudut pandangan islam. Maka Islam menganjurkan adab- adab yang baik dalam kehidupan berjiran iaitu:

1) Sentiasa mewujudkan suasana kemesraan melalui usaha kenal-mengenal dan hormat- menghormati antara satu sama lain.

Memulakan salam dan senyuman jika bertemu sesama Muslim atau ucapan penghormatan yang baik jika bertemu dengan bukan Muslim. Hendaklah sentiasa bertoleransi yang melibatkan urusan keagamaan, adat resam, budaya, cara hidup dan lain-lain lagi.

2) Tidak menyakiti mereka sama ada melalui perkataan, perbuatan atau sekadar bersangka buruk.

Jiran yang tidak berakhlak sesama jiran seperti menganiaya, mengumpat, sehingga tergamak melakukan kejahatan dan kedurjanaan sehingga menimbulkan ketakutan dan kegerunan kepada insan lain.

Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “ Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman.
Sahabat bertanya:
“Siapakah (yang tidak beriman itu) ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW menjawab:
 “Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga, barangsiapa yang jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Riwayat Muslim)

3) Tidak membina bangunan yang tinggi sehingga menutup laluan angin ke dalam rumahnya.

Jangan menyusahkan mereka, seperti meletakkan sesuatu yang boleh menghalang laluan ke rumah mereka kecuali setelah mendapat restu dan izin daripadanya.

Sepertimana yang disebut dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Demi Allah, sesungguhnya mereka yang membuatkan jiran tetangga tidak selesa dan tidak aman dengan gangguan yang mereka lakukan, mereka itu adalah orang yang tidak sempurna imannya. (riwayat Muslim no. 46)

4) Sentiasa berusaha mewujudkan suasana aman, damai, tenteram, sejahtera dan ceria dalam kehidupan berjiran. Faktor inilah juga yang menyebabkan Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara rukun-rukun kebahagiaan ialah ‘jiran yang baik’.

Dengan ini, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan dalam kehidupan. Oleh itu, marilah sama-sama kita mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama jiran dan mengamalkan apa yang di sabdakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis serta jauhi diri kita dari menyakiti jiran tetangga secara sengaja atau tidak sengaja. - HARAKAHDAILY 24/4/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.

Islam mengajar kita bahawa yang memberi lebih baik dari yang menerima. Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.  Rasulullah SAW dalam hadisnya ada menyatakan: “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan yang di atas adalah pemberi dan tangan yang di bawah adalah penerima”. (Riwayat Muslim)

Bersedekah dalam Islam bukan sekadar memberi wang ringgit kepada mereka yang memerlukan. Konsep bersedekah dalam Islam adalah luas, membabitkan perkara yang membawa kebaikan sama ada dalam bentuk kerohanian mahupun fizikal. Dengan bersedekah kita akan terhindar dari api neraka dan sekali gus mampu membukakan pintu rezeki. Seperti yang sering kita dengar bahawa dengan bersedekah kita tidak akan menjadi miskin malah rezeki akan dilipatgandakan sebanyak 700 kali ganda.

Allah Ta’ala berfirman (maksudnya): “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji,. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui”. (Al Baqarah: 261)

Sedekah adalah suatu pemberian yang diberikan oleh seorang muslim kepada orang lain secara spontan dan sukarela tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu. Ia juga adalah suatu pemberian yang diberikan oleh seseorang sebagai kebajikan yang mengharap redha Allah S.W.T dan pahala semata. Di dalam Al Quran, banyak ayat yang menyuruh kaum muslimin untuk sentiasa memberikan sedekah.

Firman Allah S.W.T (maksudnya):  “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat ma’ruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak kami akan memberi kepadanya pahala yang besar”. (An Nisaa: 114)

Apabila kita bersedekah hendaklah kita mendahulukan orang yang dekat dengan kita termasuk adik beradik dan juga jiran tetangga sebelum menghulur bantuan kepada orang lain. Ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Antara lain ia menyusun keutamaan bersedekah kepada diri sendiri, isteri, anak, orang gaji dan jika masih ada sedekahlah kepada sesiapa yang memerlukan. Jika masih ada golongan fakir dan miskin di negara kita, lebih baik kita bersedekah kepada mereka sebelum bersedekah kepada penduduk luar negara. Setiap orang yang berbuat kebajikan nescaya diberkati Allah dengan dikurniakan kesejahteraan hidup dan mendapat rahmat-Nya.

Amalan bersedekah yang amat dianjurkan Islam sememangnya akan mendapat ganjaran pahala yang besar namun pahala sedekah akan lenyap apabila si pemberi selalu mengungkit-ungkit dengan sedekah yang telah diberikan atau menyakiti hati si penerima. Hal ini ditegaskan oleh Allah S.W.T dalam firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan si penerima”. (Al Baqarah: 264)

Sedekah merupakan sunnah Rasulullaah SAW dan hukumnya adalah sama dengan infak. Namun begitu, sedekah dan infak mempunyai perbezaan dari segi barangan yang dikeluarkan. Ini kerana sedekah tidak terbatas kepada harta semata-mata sedangkan infak berkaitan dengan harta.

Terdapat beberapa kelebihan bersedekah yang akan dirasakan pada orang yang melakukannya. Antaranya ialah:

1. Memperkuat keimanan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT
Jika kita bersedekah dengan niat demi untuk beribadah kerana Allah, pasti akan bertambah keimanan kita terhadapNya. Dengan bersedekah juga dapat mendekatkan diri kepada Allah kerana Allah sangat menyayangi akan golongan hambaNya yang banyak memberi kerana-Nya, bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

2. Bertambah rezeki dan mendapat keberkatan
Allah akan memberi dan menggantikannya dengan hal yang lebih baik jika kita memberi kepada orang lain. Tidak sesekali kita rugi sekiranya memberi dan membantu orang lain dengan hak dan barangan kita. Pasti Allah akan menurunkan keberkatan rezeki dengan lebih baik atas kebaikan yang kita lakukan itu. Jika bukan menggantikan hal yang sama, pasti digantikan dengan kesihatan yang baik, kebahagiaan dalam keluarga dan kesenangan dalam apa jua urusan. Sesungguhnya rezeki Allah itu sangat luas dan tidak terbatas.

3. Memberi ketenangan hati dan kebahagiaan
Sebagai umat Islam kita sering disarankan untuk berbuat apa-apa saja kebaikan demi mendapatkan ketenangan fikiran dan emosi, termasuklah dengan bersedekah. Bahkan, dengan membelanjakan harta kearah kebaikan demi membantu orang lain pasti akan mendorong peningkatan hormon-hormon kebahagiaan dalam otak kita. Kajian sains sendiri telah membuktikan kebenaran ini.

4. Melatih berfikiran positif dan adil
Golongan yang gemar bersedekah adalah mereka yang memiliki sikap adil dan tidak berani mengambil hak orang lain tanpa kebenaran (mencuri). Dengan melakukan amalan sedekah akan mengingatkan kepada kita mengenai kewajiban dalam aspek sosial iaitu bersikap adil kepada mereka yang memerlukan bantuan.

5. Melahirkan rasa syukur
Rasa syukur adalah apabila kita berterima kasih kepada Allah dengan apa yang kita terima. Lalu, dengan bersedekah adalah salah satu cara untuk kita mengucapkan terima kasih kepada Allah SWT atas semua kurniaan dan pemberiannya. Bukankah dengan bersedekah itu mengingatkan kita bahawa apa yang dimiliki hari ini itu adalah nikmat dan atas keizinan dari Allah SWT? Jadi, jika kita ini hamba yang bersyukur, maka memberilah tanpa berkira-kira.

Justeru, marilah sama-sama kita mengamalkan amalan bersedekah kerana dengan bersedekah akan mendapat ganjaran pahala yang besar. Contoh terbaik dalam bersedekah adalah Nabi Muhammad SAW. Baginda sering kali memberikan makanannya kepada golongan miskin sehinggakan Baginda sendiri kerap berlapar. Rasulullah sangat takut jika di rumahnya terdapat hanya sedikit saja harta atau makanan yang belum dibahagikan. Bahkan pakaian Baginda sendiri dari bahan kasar dan berharga paling murah. - HARAKAHDAILY 23/4/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia.

TIDAK dinafikan bahawa semua orang suka akan keindahan dan kecantikan serta ingin mempunyai kesihatan yang baik. Justeru mereka sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkan kecantikan dan kesihatan yang diinginkan sehingga sanggup mengambil suplemen yang dijual di pasaran tanpa mengira resiko yang bakal dihadapi.

Di pasaran kini, terdapat banyak produk kecantikan (kosmetik) dan kesihatan (suplemen) telah dipasarkan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Pengguna disajikan dengan pelbagai jenis testimoni yang kononnya berjaya daripada pihak penjual. Namun tahukah anda bahawa testimoni yang dipaparkan itu boleh direka? Ini kerana ada sesetengah penjual atau pengedar yang tidak bertanggungjawab menipu pembeli atau pengguna dengan memberikan testimoni palsu.

Produk Kecantikan (Kosmetik)
Produk kecantikan yang mempunyai bahan terlarang seperti merkuri, hydroquinone dan tretinoin untuk mencerahkan kulit sememangnya memberi kesan pemutihan yang cepat tetapi mempunyai kesan sampingan dalam masa jangka pendek dan panjang.

Produk kecantikan yang mengandungi merkuri biasanya terkandung dalam krim siang yang dioleskan pada kulit dapat meresap melalui aliran darah. Antara kesan jangka pendek penggunaan produk yang mengandungi merkuri dalam produk pemutihan kulit termasuklah iritasi kulit, mual dan muntah manakala kesan jangka masa yang panjang boleh mengakibatkan kerosakan saraf otak, ginjal, kanser, Alzheimer, Parkinson dan gangguan perkembangan janin.

Produk Kesihatan (Suplemen)
Sesetengah pesakit sanggup mengambil apa sahaja suplemen tambahan untuk menyembuhkan atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa sakit yang dialami tanpa mengetahui kemungkinan kesan buruk yang bakal mereka hadapi.

Hal ini kerana sesetengah produk kesihatan yang berada di pasaran mengandungi bahan terlarang seperti dexamethasone iaitu sejenis steroid. Antara kesan buruk pengambilan steroid dalam jangka masa yang panjang serta tidak terkawal boleh menyebabkan penyakit darah tinggi dan diabetes bertambah buruk. Antara kesan lain termasuklah menyebabkan kegagalan buah pinggang, tulang rapuh, mudah dijangkiti kuman dan sebagainya.

Dalam rencana ini, saya sertakan beberapa tips sebelum membeli dan menggunakan sesuatu produk. Antaranya:

1.Ikut saranan doktor
Bagi pengguna yang mempunyai penyakit yang berbahaya seperti sakit buah pinggang, diabetes, sakit jantung dan seumpanya mestilah ikut saranan doktor dengan mengambil ubat-ubatan yang telah dibekalkan mengikut dos yang telah ditetapkan.

Jangan mudah terpengaruh dengan dakyah penjual yang kononnya produk mereka mampu menyembuhkan penyakit yang anda hadapi kerana kemungkinan produk tersebut akan memburukkan lagi tahap kesihatan anda sehingga boleh membawa maut.
Ini kerana terdapat banyak kes yang telah dilaporkan oleh media tentang kematian pesakit kerana meninggalkan ubat-ubatan yang dibekalkan kerana terpengaruh dengan testimoni dan kebanyakan mangsa penipuan terdiri daripada golongan tua.

2.Pastikan mendapat kelulusan daripada KKM
Langkah ini untuk memastikan produk yang diambil bebas daripada bahan terlarang. Walaupun produk yang berdaftar dibawah KKM belum tentu 100% selamat tetapi sekurang-kurangnya boleh mengurangkan risiko kesihatan terdedah kepada bahaya.

3.Dapatkan nasihat pakar
Pengguna dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar yang bertauliah terlebih dahulu mengenai sesuatu produk untuk mengetahui maksud dan fungsi serta keperluannya yang sebenar.
Hal ini kerana setiap badan manusia berbeza keperluannya. Contohnya orang yang alergik dan tidak terhadap sesuatu akan berbeza cara pemakaian dan pemakanannya.

4.Baca apakah kandungan dan dos bahan
Perhatikan kandungan dan dos bahan yang digunakan. Jika terdapat bahan-bahan terlarang di dalamnya, hindari daripada membelinya meskipun produk tersebut menarik dan menjanjikan hasil yang memuaskan.

Jangan terlalu obses dengan kecantikan sehingga memudaratkan diri sendiri. Sesungguhnya kecantikan rohani lebih penting dan mulia berbanding dengan kecantikan fizikal yang tidak kekal. Apabila rohani cantik, automatik kecantikan fizikal pun akan terselah. Jadi, berhati-hatilah dalam memilih produk kecantikan dan kesihatan yang berlambak di pasaran. Pengeluar dan penjual tidak akan peduli jika produk mereka memberi kesan buruk kepada pengguna asalkan mereka dapat keuntungan yang diinginkan.

Pihak KKM menerusi Bahagian Perkhidmatan Farmasi telah menyediakan perkhidmatan Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian bebas tol 1-800-88-6722 (Isnin-Jumaat, 8 pagi-5petang) untuk orang awam bertanyakan apa sahaja berkaitan produk-produk di pasaran.

Melalui atas talian, pegawai farmasi yang bertauliah dan berpengalaman akan menjawab persoalan anda dengan memberikan informasi yang betul dan tepat. Maka gunakanlah perkhidmatan yang ditawarkan bagi mengelakkan menjadi mangsa kepada penjual produk yang rakus mencari keuntungan semata-mata tanpa pedulikan kesan terhadap pengguna.

Tindakan yang tegas harus diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerjasama daripada semua pihak diperlukan untuk mengatasi permasalahan pengeluaran produk yang merbahaya.

Sebarang aduan tentang penjualan produk yang mengandungi bahan terlarang boleh dibuat menerusi Sisitem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) KKM di laman sesawang berikut: http:// moh.spab.gov.my/ eApps/system/index.do. Aduan anda mungkin boleh menyelamatkan orang ramai daripada menjadi mangsa. Anda mampu mengubahnya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Al-Baqarah:195). - HARAKAHDAILY 21/4/2017

Penulis ialah peljar Universiti Sains Islam Malaysia

More Articles ...