Rakyat perlu bersatu hadapi kebiadapan Korea Utara

Berita
Typography

PAS menyeru rakyat Malaysia bersatu padu mempertahankan kedaulatan negara dalam menghadapi kebiadapan Korea Utara.

Marilah kita bersama-sama memberi keprihatinan kepada ahli-ahli keluarga mangsa yang dijadikan tebusan dan memberi sokongan untuk menyelesaikan kemelut ini.

Sikap tidak hormat kepada negara lain dan bertindak di luar peraturan antarabangsa oleh Korea Utara bukanlah perkara baru.

Dan perlu diingat, bukan Malaysia yang mencipta krisis ini ekoran kematian Kim Jong Nam.

Oleh itu, ketegasan kerajaan terhadap provokasi dari kerajaan Korea Utara demi mempertahankan kedaulatan negara dan mengutamakan soal keselamatan rakyat adalah satu tindakan yang tepat.

Untuk menyelesaikan kemelut ini pada kadar segera, PAS menyarankan agar kerajaan jangan berlengah untuk menggunakan pihak ketiga bagi meredakan keadaan.

Memandangkan ekonomi Korea Utara amat bergantung pada negara China, negara China menjadi pilihan terbaik sebagai perantara dan perunding bagi membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara dan Malaysia perlu memberi jaminan yang sama kepada Korea Utara.

Hubungan baik Malaysia dengan China susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu dimanfaatkan sepenuhnya waktu ini sementara penyiasatan polis terhadap kematian Kim Jong Nam dapat diteruskan dan diselesaikan segera mengikut undang-undang negara.

Insya Allah, pendekatan diplomasi ini akan membawa kepada penyelesaian yang aman.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
9 Mac 2017 - HARAKAHDAILY 9/3/2017