Tolak campur tangan kuasa asing

Berita
Typography

AHLI Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad menolak campur tangan kuasa asing di dalam krisis antara Malaysia dengan Korea Utara yang sedang berlaku ketika ini.

Ketika membahaskan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong  Sultan Muhammad V, beliau bekata, jika berlaku campur tangan kuasa asing di dalam isu ini negara ini akan menjadi 'padang jarak padang tekukur' sebagaimana berlaku ke atas Libya dan Iraq.

"Rakyat Malaysia adalah kepentingan negara dan mengatasi segalanya. Kita tidak mahu campur tangan asing ambil alih pergaduhan dengan Korea Utara. Biar kita selesaikan sendiri," katanya di Dewan Rakyat petang ini.

Tegasnya, kepentingan Malaysia wajar dilindungi secara madani di peringkat global melalui OIC atau NAM tanpa bermusuh dengan sesiapa apatah lagi Malaysia tidak berpihak kepada sesiapapun.

Idris turut menyentuh soal hubungan Malaysia dengan China dan menasihatkan agar Malaysia melihat sebaiknya hubungan geopolitik antara Amerika dengan China selepas Donald Trump menjadi Presiden Amerika.

"US tarik diri daripada TPPA selepas Trump ambil alih, kita ubah alih untuk serah projek yang banyak dikendalikan oleh tanah besar China. China agresif, US campuri urusan ketenteraan Malaysia pula jadi serba salah kerana melibatkan tuntutan terhadap Pulau Spratly," tambahnya.

Hubungan Malaysia dengan Korea Utara dilihat semakin tegang apabila negara itu menghalang 11 rakyat negara ini keluar dari negara itu.

Keadaan ini berlaku ekoran kenyataan keras duta Korea ke Malaysia yang membidas pihak berkuasa negara ini membuat pendirian bercanggah berhubung penyiasatan Kim Jong Nam serta tidak mempercayai siasatan polis Malaysia. – HARAKAHDAILY 8/3/2017