PAS parti yang sesuai dengan generasi muda

Berita
Typography

TEMERLOH: PAS adalah parti yang jelas mesra dan bersesuaian dengan jiwa serta pembangunan generasi muda masa kini sebagaimana dibuktikan dari tawaran manifestonya.

Yang DiPertua PAS Kawasan Temerloh, Jusoh Darus berkata, hampir 30 peratus tawaran manifesto PAS untuk generasi muda yang mampu menjadi solusi masalah asas golongan itu hari ini.

"Contohnya penghapusan hutang PTPTN, tawaran pembelian kereta pertama, rumah mampu milik dan lainnya," ujarnya ketika merasmikan Jentera Pilihan Raya Pemuda PAS Dun Kuala Semantan di Bandar Temerloh, semalam.

Sehubungan itu serunya, Jentera Pemuda harus menjadi tulang belakang, serta benteng dan perisai utama dalam gerak kerja pilihan raya seterusnya mempertahankan kemenangan PAS di Parlimen Temerloh.

Apatah lagi menurutnya, 40 peratus daripada populasi pengundi adalah daripada generasi muda di mana mereka menjadi harapan kepada perubahan persekitaran tidak sihat dan menjejaskan masa depan.

Beliau turut membangkitkan semangat Jentera Pemuda supaya bekerja keras untuk memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus pengundi muda atau pertama kali mengundi memihak kepada PAS.

Gimik pelancaran tersebut disempurnakan beliau dengan penyerahan baju bertugas dan kunci Bilik Operasi Induk dengan turut dihadiri Timbalan Yang DiPertua PAS Temerloh, Hasanuddin Salim. - HARAKAHDAILY 8/4/2018