Bekas Pengarah PTG Terengganu sertai PAS

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Tanah Dan Galian (PTG) Terengganu, Dato’ Tuan Mat Tuan Ngah mengisytiharkan menyertai PAS kerana memilih parti yang terbaik.

”Saya memilih yang terbaik dari yang baik, dan saya menjadi ahli PAS,” ujarnya ketika berucap pada Ceramah Harap PGU 3.0 Edisi Felda di Dataran Ketengah Jaya, Dungun malam tadi.

Katanya, walaupun sudah cukup selesa dengan pencen yang memadai, namun beliau tetap mahu melibatkan diri dalam politik kerana tanggungjawabnya kepada Allah.

”Saya merasakan bahawa saudara-saudara akan memberikan sokongan kepada PAS pada plihan raya kali ini,” ujar beliau dipetik Buletin Online.

Beliau dilantik memegang jawatan tersebut pada 2 Mei 2011 sehingga bersara daripada perkhidmatan pada 2 Jun 2014.

Selain itu, beliau berpengalaman mengurus Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) selepas dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PMINT bermula 1 Mei 2011.

Tuan Mat yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia mula bertugas di Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri sebagai Penolong Pegawai Kemajuan Negeri II di Pejabat Kemajuan Negeri Terengganu pada 1979.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan di Pejabat Tanah Daerah seperti Hulu Terengganu, Besut, Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman sebelum dilantik sebagai Pengarah Tanah dan Galian negeri ke-40.