PPBM, PKR pertahan pimpinan ulama di Kelantan

Berita
Typography

TUMPAT: Bukan lagi sekadar bekas pemimpin Umno peringkat akar umbi yang mahu mempertahankan kepimpinan ulama di Kelantan, sebaliknya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR turut menyatakan komitmen serupa.

Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata pihaknya akan turut bersama mempertahankan Kerajaan Kelantan yang ada sekarang.

“Kita hendak bantu pertahankan Kelantan dengan semampu yang boleh. Kita akan pastikan Umno tidak boleh hendak menawan negeri ini pada pilihan raya umum ke-14 nanti,” katanya pada program Ceramah Mega Anak Muda Pertahan Kelantan di perkarangan Pasar Wakaf  Bharu, malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob, Naib Presiden PPBM Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Ketua Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari.

Ketua Penerangan PPBM Datuk Kamarudin Mohd Nor, Ketua AMK Dr Hafiz Rizal, Ketua PPBM Machang Datuk Sazmi Miah dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri  Nazman Che Iberahim.

Ribuan anak muda menyertai program tersebut yang bermula selepas Asar dengan  program santai. Pada program itu juga anak-anak muda melafazkan ikrar mempertahankan Kerajaan Kelantan.

Sebelum itu, Pemuda PAS yang mewakili Jabatan Amal, Dun Kelaboran, Wakaf Bharu, Pasir Pekan dan Pengkalan Kubor menerima panji daripada Ustaz Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS sebagai gimik pelancaran jentera pilihan raya Pemuda PAS Tumpat.

Mukhriz juga berkata beliau tidak pernah terfikir sebelum ini boleh berada di pentas PAS biarpun sudah dua kali mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan ketika mengetuai kerajaan Kedah.

“Saya juga mungkin satu-satu Menteri Besar daripada Umno yang pada hari pengkebumian Allahyarham Tok Guru Nik  Abdul Aziz pada Februari 2015.

“Biarpun saya tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan namu sambutan diberi PAS di negeri ini begitu meriah sekali,” ujarnya.

Dr Hafiz juga berkata tiada sebab rakyat Kelantan hendak menukar kerajaan negeri yang ada sekarang kepada kerajaan yang dipimpin parti lain.

Katanya, PKR terus menjalinkan tahaluf siyasi dengan PAS di Kelantan bagi mempertahankan kerajaan negeri yang ada sekarang.

“Adakah tuan-tuan hendak tukar kerajaan negeri yang ada sekarang di Kelantan?” soalnya.

Kemudian dijawab spontan ribuan orang yang hadir, "tidak". - HARAKAHDAILY 4/3/2017