MB lawat pondok terbakar dan sampaikan bantuan

Berita
Typography

TUMPAT: Kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM100,000 kepada pengurusan Madrasah Al-Badriah Pondok Jal Besar terbakar  yang terbakar kira-kira jam 8.00 malam tadi.

Sumbangan itu disampaikan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Bentara Kanan, Ahmad Yaakob kepada mudir pondok, Saifulbaharin Che Ali di tapak kebakaran petang tadi.

Katanya, RM50,000 sumbangan itu melalui Tabung Serambi Makkah dan selebihnya  Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin).

Ahmad berkata lagi, pada masa yang sama beliau mendapat maklum Pemangku Raja yang juga Yang Dipertua Maik, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, berkenan meluluskan sumbangan sebanyak RM300,000.

Beliau berkata, sumbangan itu diberikan untuk membantu pondok berkenaan yang kerugian dalam kebakaran itu.

“Terpulang pihak pondok sendiri untuk kaedah mana nak dibelanjakan peruntukkan itu.

“Pada masa yang sama saya juga menyeru orang ramai menyalurkan sumbangan kepada pihak pengurusan pondok supaya baik pulihnya dapat dilakukan segera,”ujarnya.  

Beliau turut menasihati pihak pondok dan orang ramai supaya berhati-hati menggunakan elektrik.

Katanya, penyambungan elektrik yang berlebihan akan mengakibatkan litar pintas.

Sambungnya, musibah  tidak dijangka akan berlaku.

“Pihak pengurusan pondok perlu memberi  kefahaman pada pelajar bagi menjaga keselamatan serta tidak cuai,” ujarnya.

Sementara itu, Ustaz Saifulbaharin ketika ditemui mengucapkan terima kasih pada menteri besar serta pimpinan kerajaan negeri yang lain.

Katanya, beliau amat terharu menerima kunjungan dan bantuan semua pihak khususnya pimpinan tertinggi kerajaan negeri.

“Terima kasih banyak, kami bersedia menerima sumbangan dari orang ramai, datanglah ke tempat kami,” ujarnya.

Turut hadir mengiringi menteri besar, timbalannya Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota exco kerajaan negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Datuk Mohd Nasruddin Daud dan Datuk Mohamed Fadzli Hassan.

Hadir sama Speaker Dun, Datuk Abdullah Yakob, Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Azlan Abdul Hadi dan Ketua Jajahan Rosnazli Amin.  – HARAKAHDAILY 1/3/2017