Sarekat Islam: Perintis pergerakan politik Islam

Berita
Typography

PERUBAHAN politik Nusantara ekoran bermulanya penjajahan Portugis di Melaka pada 29 Ogos 1511, diikuti oleh kedatangan Belanda (1595) dan Inggeris (1786) yang telah menyebabkan Alam Melayu mulai terjajah secara berperingkat apabila kerajaan-kerajaan Islam yang wujud sejak tahun 1292 telah jatuh ke tangan kuasa-kuasa Barat. Kehancuran kuasa politik Islam telah ditandai oleh pecahnya Kerajaan Melayu Johor Riau melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, diikuti runtuhnya Kerajaan Melayu Pattani (1902), berakhirnya Kerajaan Melayu Aceh (1903) dan bubarnya Kerajaan Melayu Banjar (1905).

Di Jawa sendiri, kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam seperti Kesultanan Demak (1475-1548), Kesultanan Ceribon (1430-1666), Kesultanan Banten (1527-1813) dan Kesultanan Mataram (1588-1681), telah membolehkan Belanda meluaskan pengaruh mereka dengan menubuhkan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) pada 1602. Selepas jatuhnya Belanda dalam Perang Nepoleon di Eropah pada 1806, mulai 1808, setelah VOC dibubarkan pada 1799, Belanda telah menjadikan Hindia Timur (Indonesia) sebagai jajahannya, terutama selepas Konvensi London 1814. Abad ke-19 menjadi abad yang menyaksikan siri-siri perperangan umat Islam dalam mempertahankan tanah air mereka. Tercetusnya Perang Maluku (1817), Perang Sulawesi (1824), Perang Dipinegoro (1825-1830), Perang Paderi (1821-1838), Perang Aceh (1873-1903) dan Perang Banjar (1883-1905) adalah sebahagian dari penentangan umat Islam terhadap penjajahan. Dengan berakhirnya Kerajaan Aceh (1903) dan Kerajaan Banjar (1905), bermakna kekuasaan politik umat Islam telah berakhir, kerana beberapa kesultanan yang masih ada telah tunduk dan jatuh ke tangan Belanda.

Di sebalik kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam ini, penubuhan Rusyidiyah Klab atau Jam'iyatul Rusyidiyah di Pulau Penyengat pada 1800 sebagai lanjutan dari Jam'iyatul Fathaniyah yang ditubuhkan di Mekah pada 1873, telah memberi nafas baru kepada perjuangan politik umat Islam. Dengan pengaruh Raja Ali Kelana dan Syed Sheikh al-Hadi, telah tertubuh pula Jam'iyatul al-Khariyah di Riau, kemudian satu badan yang serupa ditubuhkan di Betawi (Jakarta) pada 1901. Belanda kemudiannya menaja Jam'iyat Choiry yang dipimpin oleh R.M.T  Adhisuryo untuk menyaingi badan kebajikan Islam itu. Pada 16 Oktober 1905, seorang pedagang, Haji Samanhudi telah menubuhkan Sarekat Dagang Islam (SDI) di Surakarta, Solo untuk menyaingi pedagang Cina. Serentak dengan itu juga, ditubuhkan Sarekat Islam sebagai sebuah pergerakan politik bagi membela umat Islam setelah kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam. Sebagai mana SDI, Sarekat Islam turut dipimpin oleh Haji Samanhudi. Pada 1909, SDI pula disaingi oleh R.M Tirtoadisuryo yang menubuhkan Sarekat Dagang Islamiyah yang ditaja Belanda.

Perkembangan Sarekat Islam menjadi lebih menarik apabila Haji Omar Said Choakroaminoto menyertai Sarekat Islam dan diangkat sebagai pemimpin utamanya pada 1912. Sarekat Islam telah didaftarkan secara rasmi pada akhir 1912 dengan memberi fokus kepada gerakan politik, ekonomi dan sosial berasaskan Islam. Pada 1916, Central Sarekat Islam.(CSI) diwujudkan badan hukum yang mentadbir persekutuan seluruh cawangan Sarekat Islam, sebelum mereka memutuskan untuk memperjuangkan kemerdekaan dan terlibat dalam Volksraad (Parlimen) pada 1917, selain turut mendukung Pan-Islamisme. Sehingga 1919, keahlian Sarekat Islam dilaporkan berjumlah lebih dua juta orang, sekali gus menjadikannya gerakan Islam terbesar di dunia ketika itu.

Selain berhadapan dengan Belanda, Sarekat Islam terpaksa berhadapan pula dengan ISDV, sebuah pertubuhan komunis yang ditubuh pada 1914, tetapi telah melakukan infltrasi terhadap Sarekat Islam pada 1916 sehingga parti Islam ini berpecah membentuk Sarekat Islam Putih (pro Islam) dan Sarekat Islam Merah (pro komunis). Keadaan ini memaksa Sarekat Islam yang dikenali sebagai Partai Sarekat Islam (PSI) sejak 1920, mewujudkan disiplin parti pada 1921 yang menyebabkan Sarekat Islam Merah, Muhammadiyah dan Persis terkeluar dari badan induk gerakan Islam itu. Pada 1923, PSI telah mengukuhkan disiplin parti dengan menukar namanya kepada Partai Sarekat Islam Hindia Timur (PSIHT), sedangkan Sarekat Islam Merah membentuk Partai Komunis Indonesia (PKI). Sejak 1929, mereka dikenali pula sebagai Partai Sarekat Islam Indonesia (PSII). Namun begitu, telah berlaku krisis kepemimpinan terutama selepas kewafatan Haji Omar Omar Said Cokroaminoto pada akhir 1934 sehingga mewujudkan PSII Abikusono, PSII Kastosuwiryo, Partai Islam Indonesia (PARII) pimpinan Sukiman, selain PSII asal yang dipimpin oleh Haji Agus Salim, sebelum mereka bergabung semula pada 1937.

Dalam bulan September 1937, PSII yang dipimpin oleh Wondoamiseno sejak 1936 telah menyertai Majlis Islam A'la Indonesia (MIAI) bersama Nahdatul Ulamak (NU), Muhammadiyah serta 10 pertubuhan lain untuk menyatukan umat Islam, sebelum ia bertukar menjadi Majlis Syuro Muslimin Indonesia (Masyumi) pada 1943. Pada 1947, PSII telah menarik diri dari Parti Masyumi yang mengakibatkan mereka hanya mampu memenangi lapan kerusi sahaja dalam Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia 1955. Penghapusan parti-parti Islam oleh Sukarno pada 1960 telah menyebabkan PSII hanya menjadi organisasi masyarakat (ormas) yang dikenali sebagai Syarikat Islam (PSII) pada 1973. Selepas reformasi politik pada 1998, Majlis Tahkim (kongres nasional) ke-35 di Garut, nama PSII kembali dikenali sebagai Syarikat Islam (SI).

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
1 Mac 2017 - HARAKAHDAILY 1/3/2017