Petrol tidak naik, jangan main silap mata

Berita
Typography

MUNGKIN kepimpinan DS Najib cuba hendak bermain silap mata dengan rakyat kerana minyak petrol tidak naik, yang naiknya minyak diesel sebanyak 5 sen menjadi harga RM2.30. Sama seperti harga RON 95. Kepimpinan Umno BN boleh memberi tahu rakyat bahawa kerajaan prihatin sebab itu petrol tidak naik, kerana kebanyakan diesel diguna oleh peniaga bukan rakyat biasa.

Jika fikir selapis begitulah keadaannya, seolah-olah rakyat kebanyakan tidak kena apa-apa. Pada hal kos pengangkutan membawa sayur, ikan, beras, bas ekspres, bas sekolah, keperluan harian akan diserapkan ke dalam harga barang. Manakala kebanyakan  kenderaan dagangan menggunakan diesel.

Jangan pula kerajaan pura-pura berlakon dan marah kepada peniaga kerana menaikkan harga barang. Memberi amaran kepada peniaga jangan ambil kesempatan untuk menaik harga barang. Peniaga senyum menjawab, jika hendak barang murah pergi dapat di kedai pemimpin Umno. Macam mana kami tidak naik harga barang, semua pembekal menaikkan harga barang.

Sepatutnya kerajaan ketika semua rakyat merungut mengenai kenaikan kos sara hidup, maka ia perlu memikirkan bagaimana cara untuk mengurangkan bebanan ini. Bukan dengan mengambil jalan pintas menaikkan harga barang.

Kerajaan perlu ikatkan harga petrol dan diesel dan kembalikan subsidi bahan api supaya tidak timbul keresahan di kalangan rakyat. Tidak cukup dengan BRIM yang bernilai RM3.28 sehari, sedangkan mereka terpaksa membayar lebih RM10.00 sehari apabila membeli barang keperluan dan perbelanjaan harian yang meningkat.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
2 Jamadil Akhir 1438 / 1 Mac 2017 - HARAKAHDAILY 1/3/2017