Karnival Rakyat Sg Acheh dekati masyarakat dengan BPMS

Berita
Typography
NIBONG TEBAL: Jabatan Pilihan Raya PAS Dun (JPrD) Sungai Acheh dan PASTI Sungai Acheh telah menganjurkan Karnival Rakyat di perkarangan PASTI itu, di sini kelmarin.
 
Menurut Ketua Penerangan PAS Kawasan Nibong Tebal, Nor Zamri Latif, program tersebut bertujuan mengeratkan hubungan bersama masyarakat pelbagai kaum tanpa mengira idealogi politik.
 
Malah ujar beliau yang juga Pengarah JPrD Sungai Acheh, karnival itu menjadi medan menyatu titik perbezaan dan merapatkan kebersamaan sesuai dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera digagaskan PAS.
 
Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya sukaneka, mewarna, rawatan Darus Syifa', bekam sunnah, pemeriksaan kesihatan, memanah, sumpit, belon angin, kereta kawalan jauh, gerai jualan dan barangan terpakai.
 
Turut disediakan penganjur adalah khidmat gunting rambut dan penggantian minyak enjin motosikal secara percuma, selain pertandingan lain seperti Daie Cilik, kucing berhias, sandwich berpasangan, musang berjanggut, timang sepak raga dan motor lambat.
 
Karnival telah dirasmikan Pengerusi Lajnah Pekerja PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Usman Jaafar yang antara ucapannya menyentuh mengenai pendidikan anak-anak dan sistem pendidikan disediakan PAS.
 
Sebelah malamnya diadakan Forum Perdana di Masjid Jamek Sungai Acheh dan karnival tersebut turut dihadiri pimpinan PAS Pulau Pinang serta wakil rakyat PAS dan BN. -HARAKAHDAILY 13/2/2018