PAS paling stabil hadapi PRU14

Berita
Typography
TEMERLOH: PAS adalah parti politik paling stabil di saat parti-parti lain sedang bergelut pelbagai konflik dalaman dan perebutan kuasa, demikian menurut Naib Presiden PAS, Dato' Iskandar Abdul Samad.
 
Katanya, PAS terus mara dan kini bersedia menghadapi PRU14 yang bakal berlangsung pada bila-bila masa, termasuk menyusun strategi ke arah membentuk masa depan lebih baik untuk negara.
 
Hal itu jelas beliau, diutarakan PAS menerusi pelancaran Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 dan Dokumen Hijau yang menawarkan solusi penyelesaian terbaik terhadap pelbagai masalah melanda negara.
 
Perkara itu dinyatakan Iskandar ketika berucap dihadapan kira-kira 200 hadirin pada Himpunan Pra-Fastaqim 2.3 PAS Kawasan Temerloh di perkarangan Pejabat PAS Temerloh, di sini semalam.
 
"PAS juga telah membuktikan keampuhan prinsip perjuangan Islam didokongnya apabila kekal bertahan dan membentuk Kerajaan Selangor. 
 
"Walaupun mendapat tekanan dari pelbagai sudut yang mendesak PAS untuk melonggarkan prinsip khususnya dalam peristiwa 'Langkah Kajang' yang lepas," ujar Exco Kerajaan Selangor itu.
 
Beliau turut menyeru seluruh jentera PAS agar meneruskan kerja kuat bagi menarik undi bukan sahaja daripada pengundi Melayu Islam, tetapi juga semua bangsa yang lain.
 
Pada program tersebut turut dilancarkan kempen dan gelombang penyertaan ke Himpunan Fastaqim 12K Negeri Pahang yang akan berlangsung pada 20 Januari depan di Kompleks PAS Pahang, Kerdau.
 
Hadir sama pada program tersebut adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim serta para pimpinan PAS Pahang. - HARAKAHDAILY 12/1/2018