PAS Johor lapor polis tuduhan jahat Tun M

Berita
Typography
JOHOR BAHRU: PAS Negeri Johor telah membuat laporan polis terhadap Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan kenyataannya yang berupa tuduhan terhadap Presiden PAS d an peristiwa berdarah Memali.
 
Ketua Penerangan PAS Johor, Shamsudin Jaafar berkata, Tun Mahathir telah membuat tuduhan palsu yang amat jahat terhadap Presiden PAS dan mengaitkan tragedi Memali berpunca dari Amanat Haji Hadi.
 
"Beliau juga cuba mengaitkan para Mufti sebagai punca peristiwa berdarah itu. Kenyataan itu hanya dibuat untuk melepaskan diri beliau sendiri.
 
"Semua rakyat tahu bahawa Tun merupakan Perdana Menteri ketika peristiwa itu berlaku. Beliau tidak wajar membuat tuduhan tanpa bukti terhadap Presiden PAS dan para Mufti," ujarnya kepada media.
 
Beliau yang turut diiringi Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin dan pimpinan-pimpinan PAS Johor telah membuat laporan polis itu dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, di sini semalam.
 
Shamsudin dalam laporan itu turut menyatakan bahawa Tun Mahathir sengaja membuat tuduhan palsu bahawa Presiden PAS pernah mendakwa pihak-pihak yang tidak menyertai Parti Islam itu sebagai kafir.
 
Malah, Pengerusi PH itu juga ujarnya, menuduh Mufti-mufti bersetuju dengan perkara itu, selain menuduh juga Amanat tersebut sebagai inspirasi untuk Ibrahim Mahmud dan pengikutnya membunuh empat anggota polis.
 
"Semua kenyataan Tun Mahathir adalah berniat jahat dan bersifat fitnah semata-mata bagi memburukkan Presiden PAS dan para Mufti. Saya menggesa polis mengambil tindakan kepada beliau.
 
"Saya amat bimbang kenyataan-kenyataan jahat dan fitnah boleh menyebabkan orang Melayu berpecah-belah, para Mufti tidak dihormati dan semua terlibat dalam peristiwa Memali bermusuhan selamanya," ujar beliau.
 
Mewakili PAS Johor, beliau turut meminta agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berkaitan tragedi Memali dapat disegerakan agar fakta sebenar, bukan palsu, andaian dan fitnah segera terungkai. - HARAKAHDAILY 2/1/2018