PAS Kedah ingatkan Mahfuz lafaz baiah

Berita
Typography

AHLI Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar diingatkan jangan lupa baiah yang dilafazkan sebelum ini kerana perkara itu masih mengikatnya.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, PAS Kedah mengingatkan pemimpin terbabit jangan lupa baiah yang dilafazkan ketika dipilih menjadi calon pilihan raya dahulu.

"Lebih-lebih lagi kepada mereka yang telah mengisytiharkan diri keluar daripada PAS dengan membawa lari kerusi PAS sama ada Parlimen atau Dun," katanya di sini.

Semalam Mahfuz mengumumkan keluar daripada PAS pada sidang media yang diadakan di Royale Signature di Alor Setar.

Mahfuz yang bergelar wakil rakyat setelah menang bertanding atas tiket PAS membawa diri selepas gagal mempertahankan jawatan pada muktamar 2015 di Selangor.

Dr Ahmad Fakhruddin juga berkata, sebagai seorang Islam pemimpin terbabit perlu berpegang teguh kepada janji.

“Kerbau berpegang kepada tali, manusia berpegang kepada janji. Walau bagaimanapun saya ucapkan selamat berjaya kepada Dato' Mahfuz," ujar beliau. – HARAKAHDAILY 1/1/2018