PAS Mersing santuni warga Felda

Berita
Typography
TENGGAROH: PAS Kawasan Mersing telah mengadakan ziarah mahabbah serta edaran kalendar bersempena kehadiran tahun baharu 2018 di Felda Tenggaroh dan Felda Endau, di sini semalam.
 
Program tersebut bertujuan mendekati dan menyantuni warga penduduk di tanah rancangan itu disamping menyelami pelbagai isu kehidupan mereka terutama yang tidak mendapat perhatian Felda dan agensi kerajaan lainnya.
 
Rombongan PAS Mersing diketuai Pengerusi Pusat Aduan Rakyat PAS Mersing, A Rahman A Hamid berziarah dari rumah ke rumah menyantuni peneroka-peneroka yang uzur sambil memberikan kalender khas tanda kenang-kenangan.
 
Suasana muhibah dan harmoni jelas terpancar dari perbualan mesra beliau yang juga merupakan anak peneroka Felda Endau dan bekas Pengurus Felda bersama para peneroka ditemuinya.
 
Menurut beliau, program ziarah seperti itu merupakan rutin berkala pihak PAS Mersing sebagai pendekatan menemui penduduk dan peneroka dalam daerah itu.