PAS Indera Mahkota siapsiaga menangi Dun dan Parlimen

Berita
Typography
INDERA MAHKOTA: PAS Parlimen Indera Mahkota membuktikan kesiapsiagaannya menghadapi PRU14 menerusi Himpunan Jentera Pilihan Raya yang diadakan di Dewan Putra, Balok, di sini semalam.
 
Himpunan tersebut bertujuan menyuntik kesepaduan jentera untuk mempertahankan kemenangan Dun N.12 Beserah dan mencapai kemenangan di Dun N.13 Semambu, serta kerusi Parlimen P.82 Indera Mahkota.
 
Roh himpunan diperteguhkan dengan majlis munajat menerusi solat Isyak dan solat hajat berjamaah diikuti taklimat oleh Pengarah-pengarah Dun.
 
Menurut Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Indera Mahkota, Tengku Zaidi Tengku Musa, pihaknya telah membuat persiapan rapi dari semua aspek dan mengaktifkan jentera semua peringkat.
 
Manakala Yang DiPertua PAS Indera Mahkota, Andansura Rabu menegaskan, sekurang-kurangnya 1,000 anggota jentera PAS Kawasan itu akan dihantar menyertai Fastaqim 2.3 pada 20 Januari depan di Kompleks Al-Makmur, Kerdau.
 
Jelasnya, penyertaan itu akan melengkapkan sasaran 12,000 Jentera Pilihan Raya PAS Pahang sekali gus membawa isyarat PAS Pahang bersedia merealisasikan misi menerajui negeri tersebut dari kemenangan pada PRU14 ini.
 
Terdahulu sebelum himpunan berlangsung, papan tanda besar "Komitmen PAS Pahang" dinaikkan sebagai simbolik kepada momentum tekad dan kesiapsiagaan PAS negeri itu kepada rakyat.
 
Mengandungi antara manifesto PAS Pahang yang akan terus dipamerkan secara berperingkat oleh Jabatan Pilihan Raya PAS Indera Mahkota, papan tanda itu dinaikkan di hadapan Pusat Tarbiyah Islamiah Cherating (PUTIC) yang menjadi laluan utama Kuantan - Kemaman. - HARAKAHDAILY 29/12/2017