PAS rayu bantu mangsa kebakaran Kg Sundang Laut

Berita
Typography
SANDAKAN: PAS Kawasan Batu Sapi melalui Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Sahar Abdul Majid merayu orang ramai untuk menyumbangkan keperluan harian kepada mangsa kebakaran Kampung Sundang Laut dekat sini.
 
Beliau yang ditemui semalam selepas mengagihkan sumbangan kepada mangsa mengajak orang ramai hadir ke lokasi penginapan sementara mangsa dan menyerahkan sendiri sumbangan kepada mereka.
 
Katanya, sekiranya orang ramai mahu menyerahkannya melalui PAS boleh juga disalurkan ke akaun Bank Islam atas nama PAS Kawasan Batu Sapi, 1004 3010 0202 12 dan maklumkan sumbangan kepada wakil mereka Salman Darwis, 0109309784. 
 
Tambahnya, kebanyakan mangsa masih kekurangan bantuan seperti susu bayi, lampin bayi, keperluan sekolah, makanan harian, alatan kebersihan, keperluan wanita dan lain-lain.
 
"PAS akan meneruskan siri bantuan kepada mangsa secara berkala dan dalam masa terdekat PAS akan sekali lagi memberi bantuan kepada mangsa yang belum menerima sumbangan baru-baru ini.
 
"Pihak kami juga dimaklumkan oleh mangsa, bantuan harian yang diberikan sebelum ini oleh pihak berwajib akan dihentikan bermula hari ini dan sudah tentu mangsa-mangsa ini lebih memerlukan bantuan dari luar.
 
"Sekiranya bantuan dihentikan, PAS akan membuka 'Dapur Rakyat' iaitu aktiviti memasak makanan harian untuk mangsa dan diagihkan kepada mereka secara berjadual.
 
"Semua ini memerlukan dana dan pihak kami merayu orang ramai untuk sama-sama menghulurkan sumbangan kewangan bagi melancarkan bantuan yang dirancang," jelasnya. - HARAKAHDAILY 26 /12/2017