Saliran tersumbat punca bandar Miri banjir kilat

Berita
Typography

HUJAN lebat sepanjang hari di bandaraya Miri menyebabkan beberapa kawasan perumahan dan kampung dilanda banjir kilat. Hujan lebat serta air pasang besar yang melanda di kawasan pantai turut menjejaskan kawasan kampung Batu Satu dan beberapa kampung yang berdekatan.

Terdapat penduduk yang terpaksa berpindah sementara menunggu air surut, terutamanya mereka yang tinggal berhampiran pantai. Terdapat juga rumah-rumah dan kenderaan yang rosak akibat banjir kilat kerana mereka tidak sempat untuk menyelamatkan kenderaan mereka dari terperangkap dalam banjir.

Banjir kilat juga melanda beberapa kawasan di Pujut terutama Pujut Padang Kerbau di mana penduduk mengadu perparitan yang tersumbat penuh dengan sampah dan air bertakung melimpah keluar dari parit dan masuk ke rumah-rumah mereka.

Sebelum ini, jarang berlaku banjir kilat di kawasan kediaman mereka tapi kali ini ianya agak teruk kerana mereka terpaksa berjaga-jaga pada waktu hujan lebat kerana mereka yakin selagi parit yang tersumbat penuh dengan sampah itu tidak dibersihkan maka selagi itulah banjir kilat boleh berlaku pada bila-bila masa.

Kami mengesa pihak berkuasa dan mereka yang berkaitan segera membersihkan sampah sarap dan mendalamkan lagi parit yang terdapat di kawsan terbabit. Mereka yang tinggal berdekatan dengan parit atau sungai seharusnya menjaga kebersihan serta tidak membuang sampah ke dalam parit atau sungai untuk mengelak berlakunya parit tersumbat dengan sampah dan bahan buangan.

Kami menyeru agar semua pihak yang terbabit dapat bekerjasama dan dapat menjaga kebersihan dipersekitaran tempat tinggal mereka dari ancaman penyakit berjangkit dan banjir kilat akibat pembuangan sampah yang tidak teratur.

Sekali lagi, kami menyeru agar pihak yang bertanggungjawab dalam urusan yang berkaitan, segera membersihkan kawasan yang terbabit untuk mengelak berlaku banjir kilat dan penyakit berjangkit. Kerjasama dengan pihak yang berkenaan amat dihargai.– HARAKAHDAILY 21/12/2017

MiriBanjir 2

MiriBanjir 3